Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan kegiatan itu dikesan setelah pihak jabatan menerima beberapa aduan daripada mangsa yang menerima pesanan ringkas tersebut menggunakan pelbagai nombor telefon mudah alih melalui aplikasi WhatsApp.
"Sindiket penipuan tersebut dilaporkan menyamar sebagai pegawai penjara menggunakan nama samaran palsu seperti Sarjan Haziq, Sarjan Akmal, Sarjan Nazri, Sarjan Zul, Sarjan Sani, SJN Zam dan pelbagai nama samaran lain bertujuan memperdaya ahli keluarga atau waris prospek.
"Sindiket penipuan ini juga menggunakan beberapa akaun bank tumpangan bagi transaksi wang daripada ahli keluarga atau waris prospek," menurut kenyataan itu.
Berikutan itu, keluarga mangsa yang terlibat telah membuat laporan polis dan Jabatan Penjara Malaysia akan bekerjasama dalam membantu siasatan.
Menurut kenyataan itu, ahli keluarga atau waris dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang transaksi wang kepada individu atau nombor akaun yang tidak dikenali dan membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran sekiranya menerima pesanan ringkas mencurigakan serta melaporkannya kepada jabatan untuk tindakan lanjut.
Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan pihak jabatan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab.
"Jabatan Penjara Malaysia komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan prospek serta keluarga mereka daripada menjadi mangsa penipuan.
"Orang ramai diminta untuk sentiasa berwaspada dan tidak terperdaya dengan taktik licik sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama jabatan ini untuk kepentingan peribadi," menurutnya.
-- BERNAMA
