KUALA LUMPUR: Dua pencipta kandungan dan empat rakannya didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan gaduh gempar dalam satu perlawanan tinju, bulan lalu.


Ringkasan AI
  • Dua pencipta kandungan dan empat rakannya didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan gaduh gempar dalam perlawanan tinju.
  • Dua tertuduh mengaku tidak bersalah, manakala empat yang lain mengaku bersalah dan dikenakan denda.
  • Polis menahan 11 lelaki berhubung kejadian rusuhan selepas perlawanan tinju melibatkan pempengaruh media sosial.


Keenam-enam mereka ialah Ammar Mohd Nazhan, 29; Abdul Rahim Abd Hakim, 23; Muhammad Hafizul Haiman, 23; Muhammad Ady Putra, 18; Muhammad Ali Mubarak Baharudin Selamet, 28; dan Jebat Zulfar Nurfakrullah Abd Ghapor, 24.

Dua tertuduh Ammar Mohd Nazhan dan Muhammad Hafizul Haiman bagaimanapun mengaku tidak bersalah, manakala empat yang lain mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan gaduh gempar ketika satu perlawanan tinju di sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang, pada jam 10.15 malam, 25 Februari lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi Ammar Mohd Nazhan dan Muhammad Hafizul Haiman, dan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada empat tertuduh yang lain.

Peguambela, K.Ramalingam yang mewakili Ammar Mohd Nazhan dan Muhammad Hafizul Haiman memohon kepada mahkamah satu bon jaminan yang minimum bagi kedua-dua tertuduh.

“Kedua-dua anak guam saya hanya bekerja sebagai content creator yang hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM2,000 sahaja sebulan. Mohon budi bicara mahkamah untuk memberikan jaminan yang minimum,” katanya.

Empat tertuduh yang lain turut merayu kepada mahkamah agar dikenakan denda yang minimum atas alasan perlu menanggung ahli keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan dua tertuduh iaitu Ammar Mohd Nazhan dan Muhammad Hafizul Haiman diikat jaminan sebanyak RM3,000 bersama seorang penjamin.

Manakala, empat tertuduh yang lain didenda sebanyak RM500 dan satu bulan penjara jika gagal membayarnya.

Pada 1 Mac lalu, polis menahan 11 lelaki tempatan berusia 17 hingga 28 tahun berhubung kejadian rusuhan yang berlaku di sebuah restoran di Lalaport, Bukit Bintang di sini selepas perlawanan tinju melibatkan pempengaruh media sosial pada 26 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 12.45 tengah malam sebelum melakukan siasatan dan menangkap kesemua suspek.