KUALA LUMPUR: Pandangan beberapa pihak yang menyanggah usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu proses pembinaan semula masjid dan sekolah di Gaza adalah hujah kurang cerdik serta mencerminkan gejala kejahilan moral yang membimbangkan.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, Malaysia tidak boleh dan tidak akan menjadi penonton dalam sejarah, sebaliknya negara ini telah lama menentang segala bentuk kezaliman dan penindasan seterusnya.

Menerusi satu kenyataan di sini hari ini, Muhammad Kamil berkata, Malaysia tidak akan berhenti untuk terus menghulurkan bantuan hanya kerana ada segelintir gerombolan berasa "terlalu jauh" untuk peduli.

"Adakah kita hanya perlu bersuara dan berjuang untuk keadilan jika ia berlaku dalam lingkungan sempadan negara sahaja? Jika itu logiknya, maka kita tidak sepatutnya mengutuk keras kezaliman apartheid di Afrika Selatan dahulu.

"Jika itu hujahnya, maka kita juga tidak perlu menghantar bantuan kemanusiaan ke Bosnia semasa pembantaian yang amat dahsyat di Srebrenica," katanya.

Muhammad Kamil berkata, ketika dunia membisu dalam tragedi Bosnia, Malaysia tidak hanya sekadar bersolidariti jauh dari hiruk pikuk kemelut, sebaliknya menghantar pasukan pengaman, memberi bantuan ketenteraan serta menyumbang secara signifikan untuk membela rakyat yang dizalimi dan tertindas.

"Jika pada ketika itu kita mampu bertindak dan punyai sikap keprihatinan yang tinggi, lantas mengapa sekarang kita perlu 'menjaga tepi kain sendiri' dan mengabaikan tuntutan keadilan buat rakyat Palestin? katanya.

Beliau berkata, pejuang antiapartheid dan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela turut membela rakyat Palestin serta membangkitkan bahawa keadilan tidak mengenal sempadan, maka tidak wajar jika rakyat Malaysia menentang usaha murni Perdana Menteri.

"Pemikir dan intelektual Palestin, Edward Said juga menyebut bahawa 'setiap penindasan yang tidak disanggah adalah keizinan untuk penindasan yang lebih dahsyat'," katanya.

Beliau turut membidas alasan bahawa rakyat Malaysia perlu diutamakan terlebih dahulu dan menyifatkan ia sebagai hujah sangat malas.

"Sejak bila menonjolkan kepedulian kepada Palestin bermakna kita menggadai dan mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat sendiri? Adakah keupayaan untuk punyai sikap ihsan terbatas pada rakyat sendiri sahaja," katanya.

Pada Khamis, media melaporkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menyarankan kerajaan agar memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyatakan komitmen untuk membangunkan semula Gaza.

Perdana Menteri pada Rabu berkata, Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza. - BERNAMA