KEMAMAN: Polis akan mengambil keterangan seorang pengasuh bagi membantu siasatan berhubung kes bayi perempuan berusia lima bulan yang mengalami pendarahan otak dan patah tangan kiri pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Polis akan ambil keterangan pengasuh bayi perempuan lima bulan yang mengalami pendarahan otak dan patah tangan kiri pada Khamis.
  • Kejadian berlaku ketika ibu bawa anak ke rumah pengasuh di Taman Banggol Indah, Paya Berenjut, sebelum anak dirawat di hospital kerana tidak bermaya.
  • Doktor mendapati bayi itu patah tangan kiri dan mengalami pendarahan otak. Pengasuh berusia 29 tahun akan dipanggil bagi membantu siasatan di bawah Akta Kanak-kanak 2001.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ini berikutan pihaknya menerima laporan polis yang dibuat pada jam 1.30 petang daripada seorang pegawai perubatan yang merawat bayi berkenaan.

"Kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 10 hingga 11.30 pagi. Ibu mangsa telah menghantar anaknya ke rumah pengasuh di Taman Banggol Indah, Paya Berenjut.

"Pada jam 11 pagi ibu mangsa menerima panggilan daripada pengasuh yang memberitahu anaknya sakit dan demam. Kemudian ibu mangsa datang ke rumah pengasuh.

"Melihat keadaan anaknya tidak bermaya, ibu mangsa menghantar anaknya terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hanyan berkata, hasil pemeriksaan daripada doktor mendapati bayi tersebut mengalami patah tangan kiri selain rawatan lanjut turut mendapati terdapat pendarahan dalam otak mangsa.

Susulan itu, Hanyan berkata, pengasuh mangsa yang berusia 29 tahun akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001," ujarnya. - Sinar Harian