KLUANG: "Saya menyesal dan janji tidak akan ulang lagi kesalahan".

Demikian rayuan daripada seorang ibu yang dijatuhi hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Ahad selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendera anak kandungnya, bulan lalu.

Wanita berusia 32 tahun itu turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 60 jam bermula pada Ahad.

Selain itu, Hakim, Mujib Saroji mengarahkan ibu kepada empat orang anak itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, wanita didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berusia 10 tahun telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan di bahagian tubuh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tengah, di sini pada 24 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta yang sama jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda RM50,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Razli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ibu mangsa dalam rayuannya meminta hukuman diringankan atas alasan sudah menyesal dengan perbuatannya itu dan mempunyai tiga lagi anak yang masih kecil serta berasal dari keluarga susah.

Berdasarkan fakta kes, seorang guru membuat laporan polis pada 28 November lalu setelah mendapati kesan melecur di bahagian belakang kanak-kanak tersebut sebelum dihantar ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom (HEBHK) di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, penahanan suri rumah berusia 32 tahun pada jam 12.15 tengah hari pada Isnin lalu, susulan laporan dibuat guru besar sekolah mangsa.

Katanya, pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa mendapati ada satu kesan lebam di kaki kanan, kesan lecuran di kaki kiri dan kesan di tumbuk di pipi kiri sehingga lebam.


https://www.sinarharian.com.my/article/701103/berita/semasa/ibu-mengaku-dera-anak-kandung-didenda-rm8000