KUALA SELANGOR: Polis giat mengesan teman lelaki kepada seorang wanita yang dipercayai turut terlibat dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Desiran Malawati dekat sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, polis percaya suspek turut terlibat bersama-sama ibu mangsa melakukan penderaan terhadap kanak-kanak terbabit.

"Polis giat mencari suspek yang disyaki berada di Kedah bagi membantu siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mohd Ambia berkata, polis sebelum itu telah menahan ibu kanak-kanak terbabit yang berusia 32 tahun pada jam 5.14 petang Rabu susulan laporan polis dibuat bekas suaminya yang berusia 28 tahun dan direman di Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Khamis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

"Bapa kanak-kanak itu menerima panggilan daripada ibunya yang memaklumkan guru tadika memberitahu terdapat kecederaan pada tubuh badan mangsa dan disyaki didera.

"Guru tadika maklumkan kepada ibu mangsa, namun suspek hanya memberi alasan mangsa jatuh tangga," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ambia berkata, mangsa kemudian dibawa pulang ke rumah neneknya di Sekinchan oleh jirannya dan mangsa telah menceritakan bahawa dia telah dipukul oleh ibu serta lelaki terbabit dengan cara mencubit, menumbuk dan turut menyiram air panas terhadapnya.

Tambahnya, mangsa dan ibunya sebelum ini ke Yan, Kedah dipercayai ke rumah lelaki terbabit, namun pulang semula ke Kuala Selangor pada Ahad lalu.

"Mangsa di bawah jagaan wanita terbabit dan telah berpisah pada tahun 2020," katanya. - Sinar Harian