PELAKON, Raja Ilya memaklumkan dirinya telah selamat melahirkan cahaya mata keduanya yang merupakan bayi lelaki di Hospital King Edward, Australia pada pagi Selasa.

Menerusi video yang dikongsi di Instagram, pelakon itu meluahkan rasa syukur selepas menjalani pembedahan melahirkan bayi lelaki seberat 4.7 kilogram itu.

“Alhamdulillah semua selamat dan kami sihat, Baby Royal selamat dilahirkan seberat 4.7kg. Patutlah masa mengandung, saya nak gerak kaki pun tak boleh,” katanya menerusi kapsyen di Instagram.

Pada masa yang sama, Ilya juga berkongsi nama anak lelakinya, Royal Abraham.

Terdahulu, Ilya berkongsi pengalamannya tiga kali bertukar hospital di Perth sebelum menjalani prosedur di Hospital King Edward.

Sekadar info, Raja Ilya mendirikan rumah tangganya bersama Trent Garret pada 2018 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Talita Love yang berusia 2 tahun. - Gempak