TELUK INTAN: Peribahasa "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas" sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu Rao atau Melayu Rawa di Gopeng yang masih mengekalkan upacara jejak tanah atau adat berjojak sejak turun-temurun.

Ia disempurnakan bagi bayi berusia 13 bulan dan ke atas, bagi mengelakkan bayi atau kanak-kanak yang baru belajar berjalan daripada mendapat penyakit semasa membesar.

Namun bukan semua mengamalkan adat tersebut kerana kepercayaan semata-mata, sebaliknya lebih kepada bersandarkan adat resam yang perlu dipatuhi.

Pada dasarnya, adat berjojak dilakukan sebagai lambang seorang bayi itu bakal memulakan langkah dalam kehidupan dan tidak dibenarkan memijak tanah sehingga genap umur setahun.

Noradidah Mokhtar, 59, yang berketurunan Rawa berkata, adat berjojak yang wujud sejak ratusan lamanya dan berasal dari Sumatera tidak boleh ditinggalkan atau dihapuskan begitu sahaja.

Dia yang juga Pengerusi Persatuan Inap Desa Perak berkata, adat berjojak mempunyai kepentingan serta keistimewaannya yang tersendiri, tidak dibuat secara sembarangan dan mesti dilakukan oleh tukang jojak yang mahir menjalankan upacara adat berkenaan.

Menurut Noradidah, sekiranya bayi atau kanak-kanak terbabit tidak berjojak, dipercayai mereka boleh ditimpa penyakit atau menjadi kurang cerdik dalam pembelajaran.

"Pernah berlaku kepada satu keluarga ini, isterinya tidak mempercayai adat berjojak dan tidak mahu melakukan (upacara adat tersebut) ke atas anak sulungnya dan apabila anaknya itu semakin meningkat remaja, tahap pembelajaran anaknya itu tidak memberangsangkan.

"Ini (adat berjojak) adalah adat, kita tak boleh tinggalkan, perlu kekalkan tradisi kita. Adat ini juga kita berpandukan kepada agama Islam kerana jampi yang dibaca tukang jojak ke atas bayi tersebut berseru kepada nama-nama Allah," katanya ketika ditemui pada Festival Adat Berjojak - Masyarakat Rao Perak bersempena Temasya Budaya @ Negeri Perak 2024 di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini pada 29 Jun lepas.

Mengulas lanjut, Noradidah berkata,antara bahan yang digunakan semasa upacara itu dijalankan termasuk pelbagai jenis bunga yang kebanyakannya berwarna kuning serta mengikut bilangan nombor ganjil seperti lima, tujuh atau sembilan jenis.

"Selain itu, bahan yang wajib ada seperti daun gelenggang, beras kuning dan putih, bertih terdiri daripada tiga warna iaitu kuning, putih dan hitam, ibu kunyit, tanah liat serta tepak sirih yang mempunyai isi di dalamnya iaitu sirih, pinang, kapur, gambir, tembakau dan bunga cengkih.

Semasa upacara itu dijalankan, cincin kepunyaan tukang jojak bagi kanak-kanak perempuan, manakala keris bagi kanak-kanak lelaki disapukan di beberapa bahagian, anggota dan sendi badan kanak-kanak berkenaan.

"Alat muzik gong dimainkan dan lilin dipasang sepanjang upacara tersebut berlangsung serta beberapa balingan mercun dilakukan sebagai simbolik kepada upacara itu bertujuan menghebahkan kepada penduduk kampung, anak atau cucu sudah melakukan adat berjojak," katanya.

Noradidah menambah, tapak kaki dan tangan kanak-kanak yang terbabit dengan adat berjojak itu perlu diinai dengan daun inai asli dan kanak-kanak itu akan diberi makan pulut atau nasi kuning dengan rendang ayam setelah selesai upacara itu dijalankan.

Semasa upacara berlangsung, penduduk kampung yang hadir turut dihidangkan dengan manisan iaitu beras rendang bagi memeriahkan lagi upacara berkenaan.

"Kanak-kanak yang sudah berjojak perlu menjalani tempoh berpantang selama tiga hari, antaranya tidak boleh lalu di bawah ampaian dan perlu dimandikan dengan limau serta tanah liat dan kaki kanak-kanak itu perlu melalui atas tanah sebaik habis tempoh berpantang," katanya.

-- BERNAMA