GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dapat menurut titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vap diharamkan secara total.

Pegawai Pendidikan CAP, N.V Subbarow berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sultan Pahang berhubung saranan itu kerana ia dapat menyelamatkan nyawa generasi akan datang.

"CAP sangat gembira dengan titah Sultan Pahang itu dan inilah berita yang kami, ibu bapa serta guru-guru sekolah tunggu.

"Masalah vape itu bukan sahaja di Pahang tetapi di seluruh negara, CAP harap KKM mendengar titah Sultan Pahang tersebut dengan mengharamkannya untuk menyelamatkan nyawa generasi akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan Sultan Pahang menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.

Saranan itu susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang terutamanya dalam kalangan belia berdasarkan statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Titah baginda antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape yang merosakkan kesihatan. - BERNAMA