Pemenang Oscar itu berkata, beliau sentiasa mahu mempunyai keluarga dan perkahwinan pertamanya - dengan ahli perniagaan Sir Dickson Poon - sebahagiannya "mengenai mempunyai anak, generasi akan datang dan semua itu."
Michelle pernah menjalani rawatan kesuburan, tetapi itu tidak berjaya, katanya ketika diwawancara oleh BBC Radio 4's Woman's Hour.
"Dan saya rasa saat paling teruk untuk dilalui ialah setiap bulan anda berasa seperti kegagalan," katanya.
"Dan kemudian ia berlalu pergi, kenapa? Dan saya fikir pada satu ketika berhenti menyalahkan diri sendiri. Saya melaluinya, ada perkara tertentu dalam tubuh yang tidak berfungsi dengan cara tertentu. Begitulah keadaannya.
"Kita hanya perlu melepaskan dan meneruskan (hidup). Dan saya rasa sampai ke tahap di mana perlu berhenti menyalahkan diri sendiri."
Michelle yang berusia 62 tahun memenangi Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada 2023 untuk filem Everything Everywhere All at Once.
Antara filem lain lakonan beliau ialah Tomorrow Never Dies, Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Crazy Rich Asians.
Michelle juga akan tampila sebagai Madame Morrible dalam versi filem baharu Wicked.
Perkahwinan pertama Michelle dan Poon ialah dari 1988 hingga 1992.
Tidak dikurniakan cahaya mata, kata Michelle, "sejujurnya bukan kerana kurangnya mencuba… saya sentiasa dan masih menyayangi anak kecil."
Ditanya oleh penyampai Woman’s Hour, Nuala McGovern berapa lama masa yang diambilnya untuk berdamai dengan takdir bahawa beliau tidak akan dapat berbuat demikian, Michelle menjawab: "Kadang-kadang, secara jujur, saya masih memikirkannya.”
“Saya berusia 62 tahun. Sudah tentu, saya tidak akan mempunyai bayi sekarang, namun begitu, kami baru sahaja dikurniakan cucu.
"Kemudian saya dapat merasakan sangat bersyukur kerana masih mempunyai bayi dalam hidup."
Michelle bernikah kali kedua dengan Jean Todt pada 2023.
Dan pada Januari lalu, anak tiri Michelle dikurniakan bayi.
Michelle juga berasa sangat bertuah kerana mempunyai beberapa orang anak angkat dan sejumlah anak saudara.
Bagaimanapun, ia "mengambil masa yang lama" untuk menerima hakikat tidak mempunyai anak sendiri selain "tidak dikurniakan cahaya mata juga mungkin menjadi faktor utama keruntuhan perkahwinan pertama saya," kata Michelle lagi.
"Tetapi anda juga perlu faham, ini adalah perbualan yang perlu ada dengan diri sendiri dan memiliki keupayaan untuk melihat ke hadapan dan berfikir… ya, kami sangat mencintai satu sama lain sekarang, tetapi dalam 10 tahun atau 20 tahun, saya masih tidak boleh memberinya keluarga yang dia dambakan dan kamu perlu berlaku adil.
"Itulah sebabnya komunikasi antara pasangan sangat penting. Seperti, jika seorang mahu [anak] dan seorang lagi tidak… ini adalah sesuatu yang anda perlu hadapi sejak dari awal (perhubungan) kerana sepanjang perjalanan, akan ada banyak masa yang menyakitkan dan saat-saat yang sukar.
"Oleh itu, saya fikir ia adalah sangat berani sepanjang perjalanan rumah tangga, kami untuk mengakuinya dan berkata, 'OK, jangan kita heret perkara ini, kerana itulah apa yang kita lakukan. Kerana, kita telah mencuba.'"
Yeoh bertunang dengan Todt yang juga eksekutif perlumbaan permotoran Perancis pada 2004 sebelum kedua-duanya memutuskan untuk berkahwin pada 2023. - BBC