AYER KEROH: Seorang pengasuh wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang bayi sehingga mengakibatkannya cacat kekal di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Pertam Jaya, Semabok, tahun lalu.

Tertuduh, Siti Salwa Rezuan, 35 tahun, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan, iaitu pengasuh kepada seorang bayi lelaki berusia setahun, telah mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 2.30 petang di sebuah taska di Taman Pertam Jaya, Semabok, dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Okt 2023.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam Mohd Nazri Abd Hamid bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengasuh dengan gaji bulanan RM1,700, manakala suaminya hanya seorang operator kilang.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Rohatul membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mendekati atau mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 14 Nov sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media pada 1 Nov 2023 lalu melaporkan seorang bayi lelaki berusia setahun mengalami pendarahan di kepala selepas dihantar ke sebuah taska.

Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri kemudian menyita taska berkenaan selepas mendapati ia tidak didaftarkan mengikut alamat baharu premis dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taska 1984.

Bayi berkenaan kini dilaporkan mengalami cacat kekal selain hilang penglihatan kedua-dua matanya.