PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan perbicaraan kes kematian bayi berusia dua bulan, Qaseh Aulia Faizul pada Oktober tahun lalu akan didengar pada 18 Oktober depan.

Peguam mewakili ahli keluarga, Megat Syazlee Mokhtarom dari Megat Iqbal Co ketika ditemui memaklumkan perkara ini pada pagi Khamis.

“Kertas siasatan (IP) baru sahaja dilengkapkan pagi ini. Disebabkan baru siap pagi tadi, sapina tidak boleh dipohon untuk memanggil saksi ke Mahkamah. Kes hari ini ditunda ke 18 Oktober depan.

“Harapan bagi anak guam saya, tarikh perbicaraan ini diteruskan memandangkan sudah lama sangat dan mendapat keadilan,” katanya.

November tahun lalu, pemilik dan pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (TASKA) berkenaan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya kerana disyaki menyebabkan kematian Qaseh Aulia, pada 10 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata majikan dituduh mengikut Seksyen 5(1) Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012, Peraturan 34(2) Taman Asuhan Kanak-kanak 2012 dan Peraturan 14 Peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012.

Kejadian pada 10 Oktober lalu itu didedahkan bapa bayi terbabit selepas menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di TASKA berkenaan.

Bapa mangsa, Faizul Ali Adam mendakwa dia melihat ada unsur kecuaian pengasuh di premis berkenaan ketika menjaga anaknya yang dalam keadaan berbedung sebelum membuat laporan polis.

Kejadian berlaku pada hari kedua mangsa, Qaseh Aulia Faizul, berusia dua bulan, dihantar ke TASKA yang terletak di Seksyen 6, Kota Damansara itu.

Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Berikutan itu, polis menahan seorang pengasuh yang juga wanita warga asing berusia lewat 40-an bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, pengasuh warganegara Indonesia mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabai bayi perempuan itu sehingga membawa kepada kematiannya.

Semakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati TASKA terbabit tidak berdaftar dan tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, iaitu mengendalikan suatu TASKA tidak berdaftar.

Sementara itu, hasil bedah siasat ke atas Qaseh Aulia Faizul mendapati, bayi malang itu maut akibat sesak nafas.