Hakim Dr Azrol Abdullah menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Hew Foong Chun, 66, dan memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun berserta cagaran RM1,000 dengan seorang penjamin selain diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 90 jam dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, Hew didakwa melakukan penganiayaan terhadap bayi lelaki berusia 18 hari ketika kejadian dengan mencampurkan ubat selesema ke dalam botol susu mangsa sehingga boleh menyebabkan kesihatan mangsa terjejas.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah residensi di Bukit Jalil, Cheras, di sini pada 2.21 pagi, 15 Sept lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, bapa bayi berkenaan selaku pengadu telah mengupah wanita itu sebagai pengasuh untuk menjaga bayi yang baru lahir itu selama 20 hari dengan gaji RM4,500 di kediaman pengadu.
Bagaimanapun pengadu menyedari anaknya itu hanya tidur setiap hari dan kesihatannya tidak seperti bayi lain.
Pengadu kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan melihat tertuduh memasukkan ubat selesema ke dalam botol susu dan memberi bayi itu minum walaupun bayi itu sihat dan tidak mempunyai masalah kesihatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran atas faktor kepentingan awam supaya kesalahan demikian tidak dilakukan oleh sesiapa terutamanya pengasuh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia seorang ibu tunggal dan mempunyai penyakit asma, diabetes, darah tinggi serta masalah pendengaran dan penglihatan.
"Saya meminta maaf atas kesalahan saya. Saya tidak sengaja buat demikian. Ingat dia (bayi) ada selesema sebab itu saya bagi," katanya.
-- BERNAMA