Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini membantah pembinaan ‘Taman Persahabatan China-Malaysia’ di Putrajaya yang bertujuan sebagai simbol hubungan erat antara Malaysia dan China.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali meminta pengerusi perbadanan itu Tan Sri Aseh Che Mat mengekalkan identiti Putrajaya seperti sedia termasuk corak bangunannya yang melambangkan patriotisme negara yang asli.

"Cadangan jambatan reka bentuk gaya Lingnan boleh dibuat di Pulau Pinang, bukan Putrajaya. Janganlah atas nama pelancongan atau duit semata-mata, kita lupa bumi dipijak," kata beliau dalam satu kenyataan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), pada Isnin.

Ibrahim turut menggesa agar Perbadanan Putrajaya membatalkan hasrat pembinaan taman tersebut dan memindahkannya ke Jalan Petaling atau Pulau Pinang.

"Adakah negara China akan bina tapak warisan Melayu di tengah-tengah kota Beijing? DBKL juga diminta memajukan warisan budaya bangsa di Jalan Melayu, Kuala Lumpur.

"Tidakkah ada sedikit semangat patriotisme d kalangan pentabir & teknokrat Melayu seperti bangsa lain?" soalnya sambil menyatakan kekecewaan di atas tindakan pembinaan taman tersebut.

Bagaimanapun Ibrahim menafikan yang beliau adalah 'anti budaya' dan sebaliknya menganggap diri beliau sebagai seorang yang tegas pendirian kerana baginya setiap negara dan bangsa perlu ada nilai patriotisme yang wajib dipelihara.

Terdahulu, sebuah ‘Taman Persahabatan China-Malaysia’ dilaporkan akan dibangunkan di pusat pentadbiran di Putrajaya, projek mercu tanda hubungan yang semakin kukuh antara Malaysia-China.

Taman yang bercirikan elemen gaya Lingnan itu akan dibangunkan di tapak kekal Festival Bunga dan Taman Putrajaya atau dikenali Floria Putrajaya di Presint 4.

Menurut Aseh, projek yang menelan kos sebanyak RM1.5 juta itu dibiayai kerajaan China melalui Persatuan Rakyat Dongguan dijangka siap pada awal bulan Jun ini.

Majlis pecah tanah dan penanaman pokok bagi projek tersebut telah disempurnakan anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) Hu Chunhua dan Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat.