KUALA LUMPUR: Malaysia berharap China menimbal balik kemudahan pengecualian visa buat rakyat negara ini selama 30 hari seperti yang diberikan Malaysia kepada rakyat China, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata buat masa ini, China memberikan kemudahan kepada rakyat Malaysia melawat negara itu tanpa visa selama 15 hari.

"Kita minta supaya ia berasaskan kepada timbal balik. Apabila kita beri 30 hari, kita minta China juga memberikan 30 hari.

"Ini memudahkan rakyat Malaysia mengadakan hubungan dengan rakyat negara itu, melancong dan buat mereka yang mempunyai asas perniagaan untuk ke sana," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Prof Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan yang ingin tahu langkah diambil bagi mempertingkatkan hubungan rakyat dengan rakyat serta kerajaan dengan kerajaan antara Malaysia dan China.

Malaysia memberikan pengecualian visa bagi tempoh 30 hari kepada rakyat China dan India untuk melawat melalui Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang berkuat kuasa pada 1 Dis tahun lepas.

-- BERNAMA