KUALA LUMPUR: Seorang ketua balai berpangkat Inspektor adalah antara dua pegawai polis yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes curi melibatkan nilai RM300,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sehubungan itu, pihaknya membuka kes siasatan ke atas kedua-dua suspek yang berusia 44 dan 34 tahun.

"Tangkapan dilakukan terhadap dua orang pegawai polis berpangkat Inspektor dan Koperal berusia 44 dan 34 tahun," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Rusdi  memberitahu, kedua-dua suspek ditahan reman satu hari bermula Ahad bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu menurutnya,  membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, hendaklah diseksa dengan penjara atau sebat.

Beliau memberitahu, kes itu masih dalam siasatan dan sehubungan itu menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan.

"Polis memandang serius kejadian ini dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk dibawa ke muka pengadilan," ujarnya.