Beijing Youth Daily melaporkan suspek yang masih belajar di sebuah universiti terkemuka di China juga telah mengaku bahawa dia mencuri lebih 30,000 yuan (RM18,573) dari beberapa buah kuil di wilayah barat daya Sichuan dan Chongqing serta barat laut Shaanxi pada tahun ini.
Kes itu terbongkar selepas polis di Shaanxi mengeluarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Kuil Famen di bandar Baoji pada bulan ini.
Dalam rakaman itu, suspek kelihatan melutut di hadapan patung Buddha yang berada di sebelah kotak derma bersama pengunjung lain.
Kemudian, dia menunduk ke arah patung tersebut sebanyak tiga kali dan merapatkan tangannya seperti sedang berdoa.
Sebelum meninggalkan kuil itu, dia meletakkan wang kertas dalam kotak derma dan pada masa sama melekatkan kod QR pada kotak tersebut.
Polis berkata, suspek menggunakan teknik sama untuk mencuri dari kuil-kuil di wilayah lain.
Selepas tangkapan dibuat, suspek telah memulangkan semua wang yang dicurinya kepada pihak berkuasa.
Ramai pengguna media sosial mencela tindakan lelaki itu yang dianggap mencemarkan jurusan bidang undang-undang yang dipelajarinya semasa belajar di universiti.
"Dia belajar undang-undang, tetapi masih melanggar undang-undang," komen netizen di media sosial. - Sinar Harian/ Agensi