Beliau berkata meskipun negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan peningkatan dari segi kecepatan kelulusan pembangunan, Kerajaan MADANI akan terus memperkasakan agenda bagi memudah cara perniagaan.
"Hari ini saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-45, platform perbincangan penting antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meneliti perkara terkait perancangan pembangunan bandar, desa serta guna tanah negara.
"Insya-Allah, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang lebih holistik," katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata mesyuarat itu turut membincangkan mekanisme kawalan dan pengurusan bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam mengimbangi pulangan ekonomi serta mengambil kira aspek kemampanan alam sekitar selain tidak mengganggu kawasan hutan simpan.
-- BERNAMA