SIBU: Sebanyak RM268 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan Persekutuan di bawah Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sibu yang melibatkan tiga fasa secara keseluruhan.

Projek RTB Sibu bermula dengan pelaksanaan fasa satu dan fasa dua yang melibatkan kos kontrak sebanyak RM183 juta telah siap sepenuhnya pada 2012 dan 2015.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek itu memberikan manfaat perlindungan risiko bencana banjir kepada lebih 10,000 penduduk dengan keluasan 400 hektar yang melibatkan kawasan kediaman, komersial dan sekolah di sekitar Jalan Hulu Lanang termasuk Kem Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Tapak Projek Rancangan Tebatan Banjir Sibu (fasa tiga) dan lawatan ke kawasan banjir Kampung Usahajaya, Sentosa di sini hari ini.

"RTB fasa tiga melibatkan kos kontrak sebanyak RM85 juta siap sepenuhnya pada 1 Dis 2023. Dengan terlaksananya projek ini, lebih 15,000 penduduk di Kampung Datu, Kampung Hilir, Kampung Nangka, Kampung Datu Baru dan kawasan perumahan serta komersial sekitar Jalan Bandong, Jalan Tun Abang Haji Openg dan Jalan Awang Ramli Amit serta seluas 270 hektar kawasan dapat dilindungi daripada risiko bencana banjir," katanya.

Fadillah berkata bagi meneruskan pelaksanaan RTB Sibu, kerajaan Sarawak di bawah RMK-12 telah meluluskan skim projek fasa empat bernilai RM120 juta yang dijangka melindungi kawasan seluas 618 hektar apabila siap kelak yang sebahagian besar meliputi kawasan Bukit Assek.

RTP bagi fasa lima sudah dikemukakan kepada kerajaan namun tidak diluluskan untuk 'rolling plan' yang kelima ini.

"Diharapkan kita akan dapat membawa RTB ini dalam RMK-13 dengan kosnya hampir 500 juta, kalau siap keseluruhan ia dijangka mengurangkan risiko banjir dan melindungi sejumlah 100,000 penduduk kawasan-kawasan utama iaitu pusat Bandar Sibu dan perkampungan.

Bagi menyelesaikan isu banjir yang melanda Kampung Usahajaya, Sentosa dan kawasan sekitar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu, peruntukan sebanyak RM25 juta telah diterima di bawah peruntukan Projek Rakyat Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem saliran di kampung berkenaan yang dijangka siap pada April 2025.

Beliau menambah bagi mengurangkan beban rakyat setempat akibat bencana banjir, sebanyak RM1.5 juta turut diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja-kerja segera penyelenggaraan dan baik pulih struktur yang rosak akibat banjir.

Kerajaan persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian pelaksanaan projek-projek kerajaan untuk memastikan impak yang maksima demi kesejahteraan rakyat serta merangsang ekonomi Sarawak.

-- BERNAMA