JEPUN pada Khamis menamatkan nasihat risiko gempa bumi dengan magnitud yang lebih tinggi daripada biasa, seminggu selepas gegaran kuat di dasar laut Palung Nankai, menyebabkan kerajaan mengeluarkan amaran gempa mega buat pertama kalinya.

Rakyat kini boleh kembali kepada kehidupan normal kerana tiada keganjilan dikesan dalam aktiviti seismik Palung Nankai yang terletak di sepanjang pantai Pasifik Jepun minggu lalu, kata Yoshifumi Matsumura, menteri pengurusan bencana negeri, lapor Reuters.

Panel pakar Agensi Meteorologi Jepun (JMA) pada 8 Ogos mengeluarkan nasihat bahawa terdapat "risiko yang agak tinggi" gempa mega Palung Nankai sekuat 9 magnitud, selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda barat daya negara itu.

Walaupun amaran itu bukanlah ramalan yang pasti, kerajaan meminta penduduk dari pelbagai wilayah barat dan tengah untuk mengkaji semula prosedur pemindahan sekiranya berlaku bencana gempa bumi dan tsunami yang teruk.

Perdana Menteri Fumio Kishida membatalkan lawatan diplomatik ke Asia Tengah dan Mongolia pada hujung minggu untuk mengutamakan pengurusan bencana.

Pada 9 Ogos, gempa bumi bermagnitud 5.3 melanda timur Jepun berhampiran Tokyo, dengan pusat gempanya terletak di luar zon Palung Nankai di mana JMA memberi isyarat kemungkinan gempa mega, dan kerosakan adalah kecil kerana hanya tiga kecederaan ringan dilaporkan.

Central Japan Railway 9022.T turut menamatkan langkah berjaga-jaga selama seminggu untuk mengurangkan kelajuan kereta api berhampiran kawasan pantai, walaupun risiko bencana alam lain, menghampiri  iaitu Taufan Ampil.

Taufan itu memaksa syarikat berkenaan, membatalkan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Tokyo dan Nagoya pada Jumaat .

Jepun telah meramalkan 70%-80% kemungkinan gempa mega Palung Nankai berlaku dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Senario terburuk ialah kerajaan menganggarkan bahawa gempa mega Palung Nankai dan bencana tsunami seterusnya boleh mengorbankan 323,000 orang, memusnahkan 2.38 juta bangunan dan menyebabkan 220 trilion yen (AS$1.50 trilion) kerosakan ekonomi.

Jepun adalah salah satu negara yang paling sering dilanda gempa bumi. Lebih 15,000 orang terkoeban dalam gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter pada 2011 yang mencetuskan tsunami yang dahsyat dan keruntuhan reaktor tiga kali ganda di loji kuasa nuklear di timur laut Jepun.