JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima, berjumlah RM11.247 juta kepada mangsa banjir yang terjejas.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Negeri Johor akan menyalurkan RM11.247 juta sebagai Bantuan Khas Kewangan kepada mangsa banjir Monsun Timur Laut, termasuk RM3,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebelum Hari Raya Aidilfitri.
  • Bantuan RM500 akan diberikan kepada 441 peniaga Bazar Ramadan dan Aidilfitri yang terjejas, dengan pengecualian caj tertentu untuk peniaga bazar di seluruh negeri Johor.
  • Enam masjid, 17 surau, dan 43 institusi pendidikan yang terjejas akibat banjir akan menerima bantuan baik pulih daripada Kerajaan Negeri Johor.


Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebanyak RM3,000 akan disalurkan sebelum hari raya Aidilfitri kepada 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Selain itu beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan menyalurkan bantuan RM500 bagi 441 Bazar Ramadan dan Aidifiltri yang terjejas di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

Katanya lagi, setakat ini terdapat lima lokasi bazar yang terjejas akibat banjir iaitu Bazar Tebing Dato’ Onn (48 peniaga), Bazar Jalan Pandan Ria 3 (30 peniaga), Bazar Jalan Mata Kucing, Kampung Pasir (66 peniaga), Bazar Pesiaran Dahlia (150 peniaga), dan Bazar Aidilfitri Majlis Daerah Kota Tinggi (147 peniaga).

“Bantuan ini merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri Johor amat berdukacita dengan bencana banjir yang melanda dan memberi kesan kepada 13,089 orang mangsa daripada 3,749 keluarga, dengan pembukaan sebanyak 100 PPS di enam daerah yang terjejas.

Dalam pada itu beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Sembilan PBT terlibat, iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pontian, Majlis Daerah Simpang Renggam, dan Majlis Daerah Kota Tinggi, bersetuju untuk memberikan pengecualian kepada peniaga bazar.

Bagi Bazar Aidilfitri yang terlibat, Onn Hafiz berkata pengecualian diberikan kepada semua jenis caj kecuali sewaan, manakala bagi Bazar Ramadan, pengecualian terhadap semua caj yang dikenakan oleh PBT.

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 9,839 peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di 180 lokasi seluruh negeri Johor,” katanya lagi.

Selain itu Onn Hafiz berkata, sebanyak enam masjid, 17 surau, dan 43 institusi pendidikan yang merangkumi sekolah agama, sekolah rendah, sekolah menengah, serta kolej vokasional yang terjejas akibat banjir juga akan menerima bantuan baik pulih daripada Kerajaan Negeri.

“Bagi mangsa banjir yang terjejas tetapi tidak mendaftar di PPS masih berpeluang untuk mengemukakan rayuan bagi pertimbangan bantuan. Permohonan boleh dibuat di Pejabat Daerah yang terlibat iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang, dan Batu Pahat sehingga akhir April 2025.

“Kerajaan Negeri Johor komited untuk terus berusaha sedaya upaya dalam membantu mereka yang terkesan oleh bencana ini, demi kesejahteraan dan kestabilan hidup semua. Semoga segala bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir serta memberi sinar harapan untuk mereka bangkit semula. Insya-Allah,” katanya lagi.