Ia bukan sekadar platform untuk berkomunikasi, tetapi juga menjadi cerminan kehidupan seseorang kepada dunia luar.
Namun, di sebalik kemudahan dan keistimewaan yang ditawarkan oleh media sosial, wujud satu fenomena psikologi yang semakin berleluasa, iaitu Fear of Missing Out atau lebih dikenali sebagai FOMO.
FOMO merujuk kepada perasaan bimbang atau gelisah apabila seseorang merasakan dirinya tertinggal daripada pengalaman, aktiviti atau maklumat yang dinikmati oleh orang lain.
Fenomena ini semakin ketara dalam kalangan remaja yang begitu bergantung kepada media sosial sebagai sumber hiburan, komunikasi, dan informasi.
Kajian mendapati bahawa majoriti remaja yang aktif di media sosial mengalami tekanan emosi akibat daripada perasaan takut ketinggalan, terutamanya apabila melihat rakan-rakan mereka menghadiri acara tertentu, melancong ke tempat-tempat menarik, atau sekadar menikmati masa bersama dalam suasana yang menyeronokkan.
Statistik menunjukkan71 peratus remaja mengalami tekanan, kebimbangan dan kemurungan akibat FOMO, yang mana angka ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan betapa besarnya pengaruh media sosial dalam membentuk kesejahteraan mental individu.
Seseorang mungkin menganggap bahawa perasaan cemburu atau ingin tahu itu adalah perkara biasa, namun apabila ia berkembang menjadi ketagihan digital yang sukar dikawal, ia boleh membawa kesan negatif yang lebih serius.
Oleh itu, penting untuk memahami sikap-sikap yang mendorong FOMO, kesannya terhadap kehidupan seharian, serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi fenomena ini agar media sosial tidak lagi menjadi beban psikologi kepada pengguna.
Bagaimana sikap pengguna media sosial mendorong FOMO?
Kajian daripada sekumpulan penyelidik dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendapati, terdapat beberapa sikap utama yang menjadi penyumbang utama kepada fenomena FOMO, antaranya adalah ketagihan terhadap penggunaan telefon pintar yang berlebihan.
Selain itu, hasil kajian mendapati rata-rata remaja menghabiskan purata 7.67 jam sehari untuk menatal media sosial, dengan sesetengah daripada mereka mencapai sehingga 19 hingga 20 jam sehari, suatu angka yang amat membimbangkan.
Penggunaan yang keterlaluan ini bukan sahaja menyebabkan pembaziran masa yang berharga, tetapi juga mengukuhkan ketergantungan kepada media sosial sebagai satu bentuk validasi diri.
Setiap notifikasi yang diterima, setiap tanda suka (like) dan setiap komen yang diberikan menjadi satu bentuk kepuasan sementara yang mendorong pengguna untuk terus aktif di platform digital ini.
Selain itu, tekanan sosial untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini juga menjadi faktor utama yang memperhebatkan perasaan FOMO dalam kalangan remaja.
Kebanyakan mereka merasa perlu untuk sentiasa "mengemaskini" kehidupan mereka agar tidak ketinggalan dalam arus sosial.
Apabila melihat rakan-rakan berkongsi aktiviti menarik di Instagram atau TikTok, wujud perasaan bimbang bahawa mereka tidak cukup "menyeronokkan" atau "berjaya" dalam hidup mereka.
Keinginan untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar ini sering kali menyebabkan seseorang terjerat dalam perlumbaan yang tidak berpenghujung untuk terus relevan di dunia maya.
Perasaan sedih dan rendah diri juga sering dikaitkan dengan FOMO, di mana remaja mula membandingkan kehidupan mereka dengan individu lain yang kelihatan lebih bahagia dan berjaya di media sosial.
Apa yang mereka tidak sedar adalah kebanyakan kandungan yang dimuat naik telah melalui proses penyuntingan yang rapi, dan hanya menampilkan sisi terbaik kehidupan seseorang, tanpa mencerminkan realiti sebenar.
Namun, bagi individu yang mengalami FOMO, mereka gagal melihat sisi ini dan sebaliknya terperangkap dalam kitaran pemikiran negatif yang menjejaskan kesihatan mental mereka.
Lebih membimbangkan, kajian menunjukkan bahawa ramai remaja enggan meluahkan perasaan FOMO yang mereka alami kerana takut dilabel sebagai lemah atau kurang berdikari.
Mereka lebih cenderung untuk menyimpan perasaan ini, yang akhirnya boleh membawa kepada masalah psikologi yang lebih serius seperti kemurungan dan kebimbangan melampau.
Ketidaksediaan untuk berkomunikasi mengenai isu ini hanya memburukkan lagi keadaan, kerana mereka dibiarkan berdepan dengan perasaan tersebut secara bersendirian tanpa sokongan yang sewajarnya.
Kesan FOMO terhadap kehidupan seharian
Fenomena FOMO bukan sahaja memberi kesan kepada kesejahteraan mental, tetapi juga terhadap aspek kehidupan seharian seperti corak tidur dan produktiviti akademik.
Ramai remaja mengakui bahawa mereka sering tidur lewat kerana sibuk menatal media sosial, terutamanya apabila melihat rakan-rakan mereka masih aktif dan bersosial pada waktu malam.
Keinginan untuk tidak terlepas apa-apa maklumat membuatkan mereka mengorbankan waktu tidur yang cukup, yang akhirnya menjejaskan tahap tenaga dan fokus mereka pada keesokan harinya.
Selain itu, ketagihan terhadap media sosial juga boleh menyebabkan seseorang mengabaikan tanggungjawab akademik dan sosial mereka.
Ramai yang lebih rela menghabiskan masa di media sosial daripada berinteraksi secara langsung dengan rakan-rakan atau menghadiri aktiviti bermanfaat di dunia nyata.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik, tetapi juga boleh menyebabkan seseorang menjadi semakin terasing dalam kehidupan sebenar.
Namun begitu, kajian juga mendapati bahawa terdapat individu yang berjaya mengatasi FOMO dengan mengambil langkah-langkah tertentu seperti melakukan "detox digital."
Ramai yang berkongsi bahawa apabila mereka mengurangkan penggunaan media sosial atau mengambil cuti daripadanya untuk beberapa hari, mereka merasakan perubahan yang positif dari segi kesihatan mental dan produktiviti.
Mereka lebih fokus dalam kehidupan sebenar dan tidak lagi terlalu risau dengan apa yang berlaku di media sosial.
Untuk mengawal dan mengurangkan kesan FOMO, seseorang perlu mengamalkan kesedaran digital atau media mindfulness. Ini bermaksud menggunakan media sosial dengan penuh kesedaran dan tidak membiarkannya mengawal emosi dan pemikiran kita.
Kita perlu menetapkan had penggunaan media sosial, contohnya dengan menghadkan waktu penggunaan harian dan mengelakkan kebiasaan menatal tanpa tujuan yang jelas.
Selain itu, penting untuk menyedari bahawa apa yang dipaparkan di media sosial bukanlah gambaran sebenar kehidupan seseorang.
Kebanyakan individu hanya berkongsi perkara-perkara positif dan mengelakkan menceritakan cabaran serta kesukaran yang mereka lalui.
Oleh itu, membandingkan kehidupan kita dengan kandungan yang dipilih secara selektif di media sosial adalah sesuatu yang tidak adil dan tidak realistik.
Membina hubungan sosial di dunia nyata juga merupakan salah satu cara untuk mengatasi FOMO.
Dengan melibatkan diri dalam aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan, kita dapat menikmati detik-detik berharga tanpa perlu bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan kepuasan emosi.
Fenomena FOMO adalah realiti yang tidak dapat dielakkan dalam dunia digital hari ini, namun ia bukanlah sesuatu yang tidak boleh dikawal.
Dengan kesedaran dan pendekatan yang betul, kita boleh menggunakan media sosial sebagai alat untuk mendapatkan maklumat dan hiburan tanpa membiarkannya menguasai kehidupan kita.
Kunci utama adalah mengawal media sosial sebelum ia mengawal kita, kerana kebebasan sebenar bukanlah dalam mengikuti setiap perkembangan di media sosial, tetapi dalam menikmati kehidupan dengan cara kita sendiri, tanpa tekanan untuk sentiasa terhubung.
Maka, soalan yang perlu direnungkan adalah: Adakah kita benar-benar menggunakan media sosial, atau media sosial yang menggunakan kita?
* Dr Mohd Yusof Zulkefli ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dan Dr Muhamad Hafiz Hassan pula pensyarah di Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara, Cawangan Sarawak.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
