KUALA LUMPUR: Titah Adendum tidak wajar mengikat kerajaan untuk dilaksanakan sekiranya ia tidak dibawa dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong. 


Ringkasan AI
  • Keabsahan Titah Adendum: Titah adendum tidak wajar mengikat kerajaan jika ia tidak dibawa dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Persoalan Mesyuarat Lembaga Pengampunan: Persoalan utama adalah sama ada titah adendum ini menjadi sebahagian agenda rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Januari 2024. Prasyarat Keputusan Yang di-Pertuan Agong: Keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan adalah tertakluk kepada nasihat dan keterangan yang lengkap daripada ahli-ahli lembaga. Jika prasyarat ini dipenuhi, keputusan tersebut adalah kuasa budi bicara mutlak baginda.


Ahli Dewan Negara dan peguambela peguamcara, Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata, persoalan sama ada Titah Adendum ini menjadi sebahagian agenda rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Januari 2024 akan menjadi tumpuan pendengaran kes di Mahkamah Tinggi akan datang. 

“Persoalan yang berbangkit adalah sama ada perihal tahanan dalam rumah dibincangkan  dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut. 

“Kalau ada dinasihatkan dan dibentangkan, seterusnya Yang di-Pertuan Agong buat keputusan untuk benarkan tahanan dalam rumah, maka pada pandangan saya ia mengikat kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melaksanakan titah berkenaan. 

“Tetapi, andai kata berdasarkan kepada keterangan yang akan diberikan di Mahkamah Tinggi nanti, terdapat keadaan yang mana Titah Adendum itu tidak dibincangkan, maka pada pandangan saya, titah berkenaan tidak mengikat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.


Adakah Titah Adendum mengikat kerajaan jika tidak dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan? Ini pandangan peguam

Salehuddin berpendapat, prasyarat bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan dalam Lembaga Pengampunan tertakluk kepada nasihat dan keterangan yang lengkap daripada ahli-ahli lembaga berkenaan.

Pada masa sama, beliau menegaskan, sekiranya baginda telah membuat keputusan selepas memenuhi prasyarat terbabit, maka keputusan tersebut adalah dianggap sebagai titah yang dibuat berdasarkan kuasa budi bicara mutlak baginda.

“Yang di-Pertuan Agong mesti dengar nasihat, butiran-butiran, keterangan-keterangan dan fakta-fakta yang diberikan oleh Peguam Negara dahulu. Kemudian dinasihati oleh ahli lembaga yang lain. 

“Selepas Seri Paduka Baginda mendapat segala fakta dan maklumat yang lengkap, akan melaksanakan tanggungjawab baginda secara mutlak untuk menentukan sesuatu pengampunan itu patut diberikan ataupun tidak,” jelasnya.

Najib pada Isnin menjalani prosiding pendengaran rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum.

Lanjutan itu, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuannya untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk menguatkuasakan titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong yang lalu.

Dalam keputusan 2-1, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Azizah Nawawi memutuskan agar kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman.

Mahkamah menetapkan 13 Januari ini bagi pengurusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.


Dialog Tiga Penjuru: Titah addendum | Dialog tiga peguam