PETALING JAYA: Seorang jurugambar bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini, pada Jumaat atas pertuduhan mencederakan pereka fesyen, Razman dan Razmi, Rabu lalu.

Tertuduh Muhammad Imran Khairul atau dikenali sebagai  Aqo Imran membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Lelaki berusia 30 tahun itu juga dilihat tenang dan senyum apabila melihat beberapa sahabatnya termasuk pengacara dan pelakon, Harris Anuar hadir memberi sokongan kepadanya.

Dia didakwa atas pertuduhan mencederakan dua orang pereka fesyen itu dalam satu majlis di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor kira-kira pukul 9 malam, 8 Januari lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Peguam Suraj Singh mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh bekerja sebagai jurugambar bebas, sudah berkahwin dan menanggung ibu bapa, selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin dengan RM3,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Februari depan.

Sebelum ini, media melaporkan dua pereka fesyen, Razman dan Razmi Abdul Rahman cedera di muka selepas diserang jurugambar dalam sebuah majlis anugerah di sebuah hotel di Petaling Jaya, pada Rabu.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, kedua-duanya yang dikenali sebagai pereka fesyen duo, Razman dan Razmi yang juga pereka fesyen menghasilkan busana usahawan sensasi, Datuk Seri Vida untuk acara itu, dipukul dengan kamera oleh jurugambar terbabit.

Insiden itu berlaku ketika wartawan sedang menemu bual Vida sebelum jurugambar terbabit bertindak agresif.

Difahamkan insiden itu berlaku susulan masalah hutang sejumlah RM20,000 berkait penjualan kereta pada 2019.