KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan, baru-baru ini, yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum, mendominasi perbualan masyarakat.

Tidak kurang juga, ada yang melihat isu ini seakan memanaskan semula suhu politik negara.

Jika mahu dikutip suara-suara rakyat, isu ini sarat dengan persoalan.

Soalan pula bukan sekadar berbunyi ‘Tahu ke Tak Tahu?

Realitinya, ia lebih daripada itu.

Dialog Tiga Penjuru di Astro AWANI 8.30 malam ini (9 Januari) mahu melontarkan persoalan-persoalan ini agar ia dibincangkan.

Dialog Tiga Penjuru jadi Dialog Tiga Peguam menampilkan Senator Datuk Salehuddin Saidin, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Abdullah Abdul Rahman.

Astro AWANI berpendapat, soalan-soalan ini harus ditanya dan dirungkai untuk kefahaman yang lebih menyeluruh.

1. Apakah sebenarnya Titah Adendum dan bagaimana ia berbeza daripada Titah Diraja lain dalam konteks kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA)?

2. ⁠Apakah maksud kuasa prerogatif Diraja (Royal Prerogative Power)?

3. ⁠Adakah Titah Adendum yang dikeluarkan oleh YDPA sebelumnya masih terpakai di bawah pemerintahan YDPA sekarang dan sejauh mana ianya relevan apabila pengampunan dalam bentuk peringanan hukuman dan denda telah pun diberikan ketika jemaah pengampunan bersidang?

4. ⁠Bagaimanakah YDPA yang ke-17 dapat melaksanakan Titah Adendum yang dikeluarkan oleh YDPA ke-16 agar hasrat yang terkandung di dalam Titah Adendum tersebut dapat dilaksanakan?

5. ⁠Dalam peralihan kuasa Diraja, adakah Titah Adendum mengikat atau perlu dipertimbangkan oleh YDPA sekarang?

6. Adakah dibolehkan seseorang pesalah dibenarkan untuk menjalankan hukuman penjara di rumah? Adakah undang-undang membenarkan ini dilakukan? Apakah undang-undang yang membenarkan titah sebegini dilakukan. Jika tiada apakah tindakan yg perlu diambil oleh pihak kerajaan?

Selamat menonton Dialog Tiga Peguam!