Ringkasan AI
- Pertikaian Hak Kesamarataan: Membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani tahanan rumah boleh menimbulkan isu mengenai hak layanan undang-undang sama-rata. Keperluan Kajian Mendalam: Walaupun Akta Penjara 1995 membenarkan sebuah rumah digazetkan sebagai penjara, perkara ini memerlukan kajian mendalam sebelum dilaksanakan untuk memastikan ia tidak melanggar prinsip perlembagaan. Implikasi Pelaksanaan: Aspek pelaksanaan hukuman penjara seperti kod pemakaian, aktiviti pemulihan, dan hal-hal lain mengenai pemenjaraan perlu diteliti dengan teliti.
Peguambela dan peguamcara, Abdullah Abdul Rahman berkata, meskipun sebuah rumah boleh digazetkan sebagai penjara di bawah Akta Penjara 1995, beliau menegaskan, perkara tersebut perlu diteliti dengan mendalam sebelum dilaksanakan.
“Saya maklum Seksyen 3 Akta Penjara 1995 yang membenarkan satu rumah digazetkan sebagai satu penjara. Mungkin ini satu jalan keluar (kepada isu tahanan rumah Najib) tetapi memerlukan kajian yang mendalam.
“Saya fikir ada risiko terutamanya dari segi Perlembagaan tentang hak kesamarataan. Kita bayangkan, sebuah rumah digazetkan untuk seorang banduan bernama Najib Razak sahaja, mempunyai implikasi berbeza dengan sebuah rumah digazetkan sebagai penjara untuk sejumlah banduan yang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Tahanan rumah timbulkan isu mengenai hak kesamarataan banduan - Peguam
Tambah Abdullah, aspek pelaksanaan hukuman penjara yang melibatkan kod pemakaian, aktiviti pemulihan dan hal-hal lain mengenai aspek pemenjaraan seseorang individu juga akan menjadi titik pertikaian sekiranya tahanan rumah dibenarkan.
Oleh itu, beliau mencadangkan penelitian perlu dibuat sebelum tahanan rumah bagi Najib dikuatkuasakan agar tidak dicabar oleh banduan-banduan lain.
Najib pada Isnin menjalani prosiding pendengaran rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum.
Lanjutan itu, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuannya untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk menguatkuasakan titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong yang lalu.
Dalam keputusan 2-1, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Azizah Nawawi memutuskan agar kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman.
Mahkamah menetapkan 13 Januari ini bagi pengurusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.
Dialog Tiga Penjuru: Titah addendum | Dialog tiga peguam