"Kita tahu (isu) agama ini adalah sensitif dan kita tidak mahu ada tangan yang menuduh, menuding jari pihak kerajaan tidak mengambil kepedulian mengenai perkara ini, terutama dalam isu mempertahankan agama Islam.
"Kita yakin Kerajaan MADANI berpegang kepada perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan malah parti-parti di dalam kerajaan juga mendukung tentang apa yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Santunan Kasih Ramadan peringkat Zon Selatan 2025 di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengingatkan individu, kumpulan atau aliran tertentu supaya tidak menggunakan isu-isu agama untuk merosakkan keharmonian dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan semua badan penguatkuasaan dan agensi keselamatan mengambil tindakan cepat, berkesan dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkauman atau agama. - BERNAMA
