KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima 51 laporan polis berhubung skim penipuan pelaburan mata wang Forex rentas sempadan melibatkan kerugian berjumlah hampir RM12 juta.


Ringkasan AI
  • Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima 51 laporan polis mengenai skim penipuan pelaburan Forex rentas sempadan yang melibatkan kerugian hampir RM12 juta.
  • Dua individu, seorang warga Indonesia dan seorang warga tempatan, telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam skim ini. Dua syarikat lain juga dikenal pasti terlibat dalam mempromosikan skim ini.
  • Polis menasihatkan orang ramai untuk berwaspada dan membuat semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan, serta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi seperti portal semakmule CCID, senarai amaran Bank Negara Malaysia, dan Suruhanjaya Sekuriti.


Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata skim itu didalangi beberapa individu dari Malaysia dan Indonesia dengan menggunakan nama sebuah syarikat beralamat di Indonesia sebagai broker yang menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat. 

“Sehingga kini, dua individu iaitu seorang warga Indonesia dan seorang warga tempatan yang disyaki terlibat dengan skim ini telah ditahan, masing-masing pada 9 Sept dan 25 Okt lepas. 

“Dua syarikat lain juga telah dikenal pasti terlibat dalam mempromosikan skim pelaburan ini secara bersemuka kepada pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata siasatan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan individu yang menjadi mangsa kepada skim pelaburan itu dinasihatkan untuk tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

“Pihak polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan. 

“Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber-sumber rasmi seperti portal semakmule CCID, senarai amaran Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” katanya.

-- BERNAMA