SINGAPURA: Dua belas rakyat Malaysia ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram menggunakan akaun bank Singapura susulan operasi bersama polis Malaysia dan Singapura di dua lokasi di Johor, baru-baru ini.

Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata susulan serbuan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor (CCID) pada 9 Ogos lepas, seorang warga Malaysia berusia 22 tahun diekstradisi ke republik itu pada Ahad (18 Ogos).

"Melalui siasatan dan pengumpulan bukti yang berpanjangan, sebuah sel pengubahan wang haram yang beroperasi di Johor, Malaysia telah dikenal pasti.

"Lelaki itu dipercayai bertanggungjawab membawa warga asing ke Singapura untuk membuka akaun bank bagi memudahkan aktiviti pengubahan wang haram berkaitan penipuan," katanya dalam satu kenyataan.

The Straits Times (ST) melaporkan bahawa lelaki itu, Besmond Huan Yu Kang, didakwa di mahkamah daerah pada Isnin.

Dia didakwa bersekongkol dengan seorang individu bernama Tan Kang Yung dan orang lain untuk mendapatkan pengenalan pengguna dan kata laluan akaun bank Singapura.

Huan kini ditahan dan kesnya akan didengar semula pada 23 Ogos, lapor ST. Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan didenda.

Pengarah CAD David Chew berkata SPF akan terus bekerjasama rapat dengan rakan sejawatannya di Malaysia untuk mengesan dan menghalang sindiket transnasional yang menggunakan kerahsiaan Internet untuk melakukan jenayah dan pengubahan wang haram melalui hasil jenayah melalui sistem perbankan.

"Penipuan terus menjadi jenayah yang membimbangkan. Sindiket ini, yang didakwa terlibat dalam penyediaan akaun bank Singapura untuk digunakan oleh sel pengubahan wang haram, merupakan pemain utama dalam pergerakan haram dana yang diperoleh daripada pelbagai penipuan.

"Akaun ini dieksploitasi secara curang untuk mencuci hasil daripada pelbagai penipuan melalui sistem kewangan Singapura," katanya.

Chew turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Johor CP M Kumar dan pegawai dari CCID Johor atas sokongan padu dan komitmen mereka dalam menangani sindiket jenayah transnasional yang menyasarkan rakyat.

-- BERNAMA