KUALA LUMPUR: Polis menerima 21,535 laporan berkait penipuan dalam talian dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.


Ringkasan AI
  • Polis menerima 21,535 laporan penipuan dalam talian dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, dengan 1,916 mangsa atau 8.9 peratus adalah warga emas.
  • Kerugian melibatkan warga emas mencecah lebih RM255,000 atau 27.9 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dicatatkan sehingga Ogos tahun ini.
  • Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menasihati ahli keluarga supaya menasihati ibu bapa mereka agar tidak melayan atau mempercayai panggilan yang mencurigakan, sama ada daripada agensi swasta mahu pun kerajaan.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu 1,916 mangsa atau 8.9 peratus adalah warga emas.

Menurutnya, walaupun bilangan itu kecil berbanding kategori umur lain, namun nilai kerugian yang ditanggung golongan itu adalah tinggi, sekali gus menjadikan mereka sebagai sasaran yang berkualiti.

"Sehingga Ogos tahun ini, kerugian melibatkan warga emas mencecah lebih RM255,000 atau bersamaan dengan 27.9 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dicatatkan iaitu RM914,051," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Sabtu.

Sementara, Ramli memberitahu, sepanjang tiga tahun, jumlah keseluruhan yang direkodkan bagi kes-kes penipuan dalam talian adalah sebanyak RM2.8 juta dengan RM552,500 atau 20 peratus melibatkan warga emas.

Dalam kes terbaharu, Ramli berkata, seorang pesara berusia 72 tahun kerugian kira-kira RM671,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan dalam talian.

Dalam laporan yang diterima pada Jumaat, beliau memberitahu, mangsa telah dihubungi seorang individu dari khidmat pelanggan di Putrajaya.

"Nombor telefon mangsa dikatakan telah disalahgunakan dalam jenayah siber serta perlindungan dana.

"Panggilan itu kemudian disambungan kepada 'polis' yang seterusnya memaklumkan mangsa turut terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

"Jadi untuk tujuan siasatan, mangsa diarahkan mengumpulkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun milik mangsa dan memberi maklumat tersebut kepada 'polis'.

"Mangsa juga diarahkan menyerahkan semua barang kemas dan jongkong emas kepada individu yang akan datang mengambil barangan tersebut di rumah mangsa," tambahnya.

Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, beliau memohon ahli keluarga supaya menasihati ibu bapa mereka supaya tidak melayan atau mempercayai panggilan yang mencurigakan, sama ada daripada agensi swasta mahupun kerajaan.

"Tindakan mempercayai serta menuruti semua arahan yang diperolehi melalui telefon akan meletakkan mangsa dalam risiko disamun apabila mereka mendedahkan alamat serta lokasi kediaman kepada penjenayah.

"Sebaiknya bagi tujuan pengesahan, lakukan semakan semula dengan agensi berkenaan dengan menghubungi mereka menerusi nombor yang diperoleh di laman sesawang rasmi," ujarnya.