KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 24 laporan polis berkaitan isu penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan dengan nilai kerugian hampir mencecah RM460,000 di sini, pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes itu tular di media sosial apabila seorang pempengaruh  didakwa melakukan penipuan pakej pelancongan itu.

“Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mangsa yang terlibat diminta untuk segera tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran supaya siasatan sewajarnya dapat dijalankan.

"Sebahagian kes dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (AKTA 559),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai yang berhasrat melancong ke luar negara untuk melayari portal rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi menyemak agensi berdaftar yang menawarkan pakej pelancongan berkaitan.

“Langkah mudah ini penting bagi mengelakkan individu daripada menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang ditawarkan oleh syarikat tidak berdaftar,” katanya lagi