KUALA LUMPUR: Pempengaruh Kim Seri Eina  yang terpalit dengan dakwaan penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang melibatkan nilai kerugian hampir RM500,000, berjanji akan membuat siaran langsung di TikTok pada malam Ahad.

Ia bagi menjelaskan isu tular berkaitan dirinya itu.

Perkara itu dimaklumkannya menerusi kenyataan dimuat naik pada Instagram Story.

"Untuk menjawab dan menerangkan isu yang tular kini, saya Kimseri sedia untuk membuat siaran live di TikTok saya pada waktu dan tarikh berikut.

"Tarikh 22 Disember 2024, waktu 10 malam waktu Malaysia dan platform TikTok Kimseri_eina.

“Saya merendahkan diri memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan akan menerangkan segala isu yang sedang tular kini menerusi platform tersebut,” katanya pada Ahad.

Terdahulu, tular di laman media sosial TikTok video seorang wanita yang mendakwa dirinya bersama rombongan terkandas di lapangan terbang selepas tiket penerbangan pulang ke tanah air yang dijanjikan oleh pempengaruh dikenali sebagai Kim Seri tidak wujud.

Wanita itu mendakwa membuat semakan di kaunter tiket, namun namanya bersama rombongan tidak tersenarai dalam rekod tempahan penerbangan.

Sebelum ini media melaporkan, orang ramai yang mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan milik seorang pempengaruh yang berpangkalan di Korea Selatan diminta tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Susulan itu Kim Seri memohon maaf dan memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada pelanggan terkesan daripada trip pakej pelancongan tertunda sebelum atau pada 1 Februari tahun depan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan setakat Khamis lalu, pihaknya menerima 24 laporan daripada mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan dilakukan oleh seorang pempengaruh.