Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata walaupun jumlah kerugian meningkat, namun jumlah kes yang dilaporkan dilihat menurun sedikit berbanding tempoh sama tahun lepas.
"Sebanyak 18,205 kes jenayah komersial direkodkan setakat 11 Ogos tahun ini dengan purata 81 kes sehari, menurun lapan peratus berbanding 19,720 kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu Ramli berkata walaupun pembenterasan jenayah komersial dalam era teknologi hari ini menjadi cabaran utama JSJK namun pihaknya telah menanganinya dengan baik dan bersiap sedia dengan jangkaan kes jenayah komersial yang terus meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Beliau berkata perkara itu boleh dilihat menerusi 10,848 kertas siasatan yang telah dibuat pertuduhan tahun ini, yang sekali gus membuatkan polis terus melipatgandakan usaha untuk membanteras kegiatan jenayah komersial.
-- BERNAMA