KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan bernilai lebih RM21 juta, yang beroperasi di media sosial dengan menggunakan nama sebuah syarikat pelaburan antarabangsa, Warburg Pincus, dengan penahanan 10 individu.


Ringkasan AI
  • Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan bernilai lebih RM21 juta yang menggunakan nama syarikat antarabangsa Warburg Pincus dan menahan 10 individu.
  • Sindiket menggunakan Facebook dan WhatsApp untuk menarik pelabur dengan janji pulangan tinggi, tetapi mangsa tidak dapat mengeluarkan keuntungan mereka.
  • Sebanyak 35 akaun bank disita dengan nilai keseluruhan RM162,598.53, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek yang berusia 21 hingga 52 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak pada 30 dan 31 Julai lalu.

"Siasatan mendapati mereka (suspek) dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat serta perniagaan dan pengarah syarikat bagi menjayakan kegiatan tersebut.

"Sindiket ini menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka dunia iaitu Warburg Pincus bagi meyakinkan mangsa bahawa pelaburan yang dijalankan adalah sah dan menggunakan Facebook dan WhatsApp untuk berkomunikasi dengan mangsa," katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.

Ramli memaklumkan, polis turut membuka 44 kertas siasatan membabitkan pelaburan itu.

Kata beliau, polis turut merampas lapan telefon bimbit, satu kad mesin pengeluaran wang (ATM) dan satu salinan dokumen pendaftaran syarikat.

"Iklan promosi pelaburan dibuat dengan mengaplikasikan sistem algorithme FB bagi menjamin hasil yang optimum.

"Pulangan setinggi 11 hingga 15 peratus sebulan ditawarkan kepada pelabur bagi menarik perhatian mereka," katanya.

Beliau berkata, sindiket juga didapati menawarkan khidmat 'cikgu trading' untuk membimbing pelabur bagi menjana pendapatan maksimum.

"Untuk menyertai pelaburan, mangsa diminta untuk memuat turun aplikasi palsu yang dihantar melalui pautan WhatsApp dan mangsa akan diarahkan mendepositkan wang ke akaun keldai atas nama syarikat serta perniagaan sebelum boleh memulakan pelaburan.

"Namun, mangsa tidak dapat membuat sebarang pengeluaran keuntungan," katanya.

"Sejumlah 20 akaun bank milik pelbagai perniagaan dan syarikat dikenal pasti disalahgunakan sebagai akaun keldai untuk menerima wang daripada mangsa terbabit.

"Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Sehingga kini, siasatan berjaya membuat penyitaan di bawah Seksyen 50(1) AMLATFPUAA 2001 terhadap 35 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM162,598.53," jelasnya.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebarang tawaran pelaburan di platform media sosial.