KUALA LUMPUR: Negara mencatatkan sejumlah 35,368 kes penipuan tahun lepas dan mengakibatkan kerugian RM1.6 bilion, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.


Ringkasan AI
  • Malaysia mencatatkan 35,368 kes penipuan pada tahun lepas, menyebabkan kerugian RM1.6 bilion, meningkat 29% berbanding tahun sebelumnya.
  • Kes penipuan merangkumi 84.5% daripada keseluruhan kes jenayah komersial, dengan impak kewangan dan psikologi yang teruk kepada mangsa.
  • Usaha pencegahan penipuan melibatkan serbuan, penahanan, dan kerjasama masyarakat, dengan industri perbankan berjaya memintas transaksi mencurigakan bernilai lebih RM780 juta.


Beliau berkata jumlah itu mewakili 84.5 peratus daripada 41,701 kes jenayah komersial dilaporkan pada tahun lepas.

"Bilangan kes penipuan direkodkan pada 2024 meningkat tiga peratus berbanding 2023 iaitu sebanyak 34,495 kes.

"Lebih membimbangkan ialah kerugian kewangan pada 2024 menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 29 peratus berbanding RM1.2 bilion dilaporkan pada 2023," katanya di Majlis Pengiktirafan Wira Bank #JanganKenaScam 2025, di Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.

Ramli berkata statistik bukan hanya menunjukkan impak kewangan, tetapi juga kesan psikologi teruk dialami mangsa seperti sering berasa terperangkap, malu dan mengalami tekanan amat tinggi.

Ramli berkata daripada panggilan telefon palsu ke mesej penipuan dan pelaburan palsu menjanjikan pulangan tinggi, kes penipuan semakin berkembang menjadi ancaman yang ketara dan meningkat.

"Meningkatkan kesedaran tentang penipuan adalah penting untuk melindungi diri kita dan keluarga daripada menjadi mangsa jenayah ini," katanya.

Beliau berkata sebanyak 24,388 serbuan dilakukan di seluruh negara tahun lepas, membawa kepada penahanan 25,829 individu disyaki terlibat dalam jenayah komersial termasuk penipuan, dengan 16,813 kes berjaya didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, Ramli menegaskan bahawa usaha Polis Diraja Malaysia dan bank sahaja tidak mencukupi, dengan masyarakat digesa untuk terus berwaspada menerusi amalan perbankan baik serta berkongsi pengetahuan tentang pencegahan penipuan bersama komuniti mereka.

"Pencegahan jenayah komersial bukan hanya satu inisiatif, tetapi juga tanggungjawab bersama. Dengan memupuk budaya kesedaran, kita boleh mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk semua," katanya.

Ramli berkata antara 2023 hingga 2024, industri perbankan telah berjaya memintas dan mencegah transaksi dalam talian mencurigakan serta penipuan bernilai lebih RM780 juta.

Terdahulu, 67 pekerja bank menerima pengiktirafan kerana membantu melindungi pelanggan daripada penipuan dan berjaya mencegah transaksi penipuan dianggarkan berjumlah RM12.4 juta pada tahun lepas.

-- BERNAMA