NEW YORK: Kekurangan akauntabiliti untuk pembunuhan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pekerja bantuan kemanusiaan di semenanjung Gaza adalah "tidak boleh diterima sama sekali".

Kenyataan dibuat Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menjelang mesyuarat tahunan para pemimpin dunia di Perhimpunan Agung PBB akhir bulan ini.

Guterres merumuskan tahun lalu sebagai tahun yang sangat sukar selepas dikuasai perang di Gaza.

Tindak balas Israel yang membunuh lebih 41,000 rakyat Palestin digambarkan Guterres sebagai pelanggaran yang sangat dramatik terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan ketiadaan perlindungan yang berkesan terhadap orang awam.

Hampir 300 pekerja bantuan kemanusiaan, lebih daripada dua pertiga daripadanya kakitangan PBB, juga telah terbunuh semasa konflik,.

Guterres berkata, perlu ada penyiasatan yang berkesan dan akauntabiliti atas kematian mereka.

Bagaimanapun tambah beliau, walaupun dengan kewujudan mahkamah, tetapi keputusan dikeluarkan mahkamah tidak dihormati dan ketiadaan akauntabiliti tidak boleh diterima dan memerlukan pertimbangan serius.

Pada Julai, mahkamah tertinggi PBB iaitu Mahkamah Keadilan Antarabangsa berkata, pendudukan Israel di wilayah dan penempatan Palestin adalah haram dan harus ditarik balik.

Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 anggota berkemungkinan akan mengundi minggu depan mengenai draf resolusi yang akan memberi tempoh enam bulan kepada Israel untuk berbuat demikian.