SINGAPURA: Sepasang suami isteri dari Singapura yang dikehendaki berkaitan kes rasuah di negara itu dan menjadi pelarian selama 19 tahun telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Penahanan pasangan pelarian: Sepasang suami isteri dari Singapura yang dikehendaki berkaitan kes rasuah dan menjadi pelarian selama 19 tahun telah ditahan oleh SPRM di Johor Bahru.
  • Kesalahan dan pertuduhan: Ng Teck Lee, bekas CEO Citiraya, akan didakwa atas kesalahan pecah amanah jenayah, manakala isterinya, Thor Chwee Hwa, akan didakwa atas tuduhan berkomplot untuk menyimpan hasil jenayah.
  • Kerjasama antara agensi: Penahanan ini menunjukkan kerjasama erat antara CPIB Singapura dan SPRM Malaysia dalam usaha menjejaki dan membawa pelarian kes rasuah ke muka pengadilan.


Mereka ditangkap di Johor Bahru, Johor oleh pegawai dari Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan SPRM Johor.

Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura (CPIB) memaklumkan bahawa Ng Teck Lee, 58, suspek utama dalam kes rasuah Citiraya Industries Ltd (Citiraya) dan isterinya, Thor Chwee Hwa, 55, diserahkan kepada pihaknya pada hari yang sama dan akan didakwa di mahkamah pada Rabu.

Ng, Ketua Pegawai Eksekutif Citiraya ketika kesalahan itu dilakukan, akan didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan sisa elektronik daripada pelbagai syarikat yang telah diamanahkan kepadanya untuk kegunaan peribadi.

"Ng mengarahkan beberapa pekerja Citiraya untuk tidak memusnahkan sisa elektronik itu, sebaliknya membungkus semula dan mengeksportnya," menurut kenyataan CPIB pada Rabu.

Sementara itu, Thor Thor bakal berdepan satu pertuduhan di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah) Singapura atas tuduhan berkomplot dengan Ng untuk membuka akaun di Credit Suisse Cawangan Hong Kong atas namanya, yang digunakan untuk menyimpan hasil jenayah Ng.

Menurut CPIB, pasangan itu meninggalkan Singapura pada 2005 semasa siasatan terhadap kes bermula, dengan pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengesan Ng.

"Usaha ini termasuk mengeluarkan senarai larangan imigresen, Warta Polis, waran tangkap Singapura, dan waran tangkap antarabangsa melalui Interpol," katanya, sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan.

Dalam afidavit CPIB bertarikh 10 Jun 2008, Ng didakwa memanipulasi sebahagian sisa elektronik yang dihantar ke Citiraya untuk dimusnahkan oleh pengeluar cip pada 2003 dan 2004.

Sebahagian daripada sisa elektronik itu didakwa tidak dimusnahkan seperti yang dipersetujui, sebaliknya dibawa keluar dari premis Citiraya, dibungkus semula dan dijual kepada pembeli di Hong Kong hdan Taiwan.

Sementara itu, Pengarah Siasatan CPIB, Vincent Lim mengucapkan terima kasih kepada SPRM atas bantuan mereka dalam kes ini dan menekankan kerjasama erat antara pihak berkuasa anti-rasuah Singapura dan Malaysia.

"Kejayaan penahanan dua pelarian Singapura yang terlibat dalam kes rasuah selepas hampir dua dekad membuktikan hubungan rapat dan kerjasama erat antara CPIB dan SPRM.

"CPIB tidak akan berhenti berusaha untuk menjejaki mereka di mana sahaja mereka bersembunyi dan membawa mereka ke muka pengadilan di Singapura," katanya.

-- BERNAMA