SINGAPURA: Sebanyak 40 peratus syarikat yang disoal selidik di Singapura merancang untuk meningkatkan pengambilan pekerja dalam tempoh 12 bulan akan datang, manakala 12 peratus syarikat lain bercadang untuk mengurangkan kakitangan, menurut Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) pada Khamis, lapor Xinhua.

Hasil tinjauan SBF National Business Survey: Manpower and Wages Edition menunjukkan bahawa peningkatan rancangan menggaji pekerja ini didorong oleh keyakinan terhadap prospek perniagaan yang lebih cerah.

Laporan itu menunjukkan 27 peratus syarikat yang disoal selidik menjangkakan keadaan ekonomi bertambah baik dalam tempoh setahun, iaitu tiga mata peratusan lebih tinggi berbanding mereka yang menjangkakan keadaan ekonomi akan merosot.

Namun, 75 peratus perniagaan melaporkan bahawa kos tenaga kerja menjadi cabaran utama syarikat.

Selain itu, bilangan syarikat yang merancang untuk menaikkan gaji pekerja menurun berbanding 12 bulan lalu.

Dasar tenaga kerja asing yang diperketatkan juga memberi kesan kepada perniagaan.

Sebanyak 46 peratus syarikat meningkatkan pengambilan pekerja tempatan, 35 peratus memilih untuk menggunakan perkhidmatan kontraktor pihak ketiga dan 29 peratus syarikat merancang untuk menangguhkan rancangan mengembangkan perniagaan mereka.

Tinjauan ini melibatkan 796 syarikat dari pelbagai industri utama di Singapura.

Daripada jumlah itu, 82 peratus merupakan perusahaan kecil dan sederhana, manakala selebihnya adalah perusahaan besar.

-- BERNAMA