KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah hari ini gagal dalam permohonannya untuk memasukkan enam individu lain sebagai pihak ketiga dalam saman AS$6.59 bilion yang dikemukakan oleh 1MDB terhadapnya.

Ini selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membenarkan permohonan keenam-enam individu berkenaan untuk mengetepikan notis pihak ketiga yang difailkan oleh Mohd Irwan.

Enam individu itu ialah dua bekas Ahli Lembaga Pengarah 1MDB Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Seri Norazman Ayob; bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir; bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin; bekas Pengerusi 1MDB Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon dan Pengerusi 1MDB Datuk Seri Johan Mahmood Merican.

Peguam Rahmat Hazlan, yang mewakili Azmi berkata mahkamah memutuskan terdapat kelewatan yang melampau oleh Mohd Irwan dalam memulakan prosiding pihak ketiga kerana 1MDB telah memulakan saman pada tahun 2021.

"Permohonan pihak ketiga telah difailkan empat bulan sebelum bicara bermula. Oleh itu, ia merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan dan mahkamah ini membatalkan tuntutan Mohd Irwan terhadap kesemua pihak ketiga," kata peguam itu kepada pemberita selepas prosiding kes berkenaan.

Pada 30 Mei lepas, Mohd Irwan telah memfailkan permohonan pihak ketiga secara ex-parte (sebelah pihak) terhadap enam individu itu bagi menuntut indemniti atau sumbangan sekiranya Mohd Irwan didapati bertanggungjawab terhadap saman dikemukakan 1MDB tarhadapnya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Kes saman itu akan dibicarakan pada Isnin ini.

Pada Mei 2021, 1MDB telah memfailkan saman terhadap Mohd Irwan dan Arul Kanda atas dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang kemudian ditukar kepada Brazen Sky Limited investment dan dikatakan boleh didapati dalam Dana Bridge Global.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana syarikat itu berjumlah US$3.5 bilion, yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

1MDB mendakwa Mohd Irwan turut bersekongkol dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membayar jumlah yang besar iaitu RM2,905,200 kepada Arul Kanda mengikut perjanjian tersebut tanpa mengira kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan ia mengalami kerugian serta kerosakan.

Oleh itu, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan agar membayar AS$6.59 bilion bagi pelanggaran itu dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berhubung Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

-- BERNAMA