NEW DELHI: Pengiraan undi pada lewat Selasa menunjukkan parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi gagal mencapai majoriti mudah dalam Pilihan Raya Peringkat Kebangsaan.


Ringkasan AI
  • Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi gagal mencapai majoriti mudah dalam Pilihan Raya Peringkat Kebangsaan India, menunjukkan prestasi pembangkang yang lebih baik daripada yang dijangka.
  • Trend pengiraan undi menunjukkan BJP dijangka memenangi 240 kerusi, tetapi parti pembangkang seperti Kongres Kebangsaan India, Parti Samajwadi, dan lain-lain mendapat sokongan yang signifikan.
  • Prestasi lemah BJP memberikan lebih banyak kuasa runding kepada parti-parti pembangkang untuk membentuk kerajaan campuran, sementara saham dan nilai rupee India merudum sebagai reaksi kepada trend pengiraan undi yang berbeza dengan jangkaan pasaran.


Pengiraan 642 juta undi, yang dipungut antara 19 April dan 1 Jun dalam proses pilihan raya yang panjang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, bermula sejak pagi dan menunjukkan bahawa blok pembangkang memberikan saingan lebih baik daripada yang dijangka dalam pilihan raya kali ini.

BJP dijangka memenangi 240 kerusi, diikuti oleh parti pembangkang utama, Kongres Kebangsaan India mendapat 98 kerusi, menurut trend dan keputusan rasmi.

Parti Samajwadi dijangka memenangi 37 kerusi, Parti Kongres Trinamool Seluruh India (AITC) pimpinan Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee dijangka mendapat 29 kerusi, dan Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) pimpinan Ketua Menteri Tamil Nadu, M.K. Stalin mendahului dengan 22 kerusi.

Lok Sabha, dewan rendah parlimen dwidewan India, mempunyai 543 ahli terpilih.

Kongres, Samajwadi, dan DMK adalah sebahagian daripada "Indian National Developmental Inclusive Alliance" (INDIA), merangkumi lebih daripada 20 parti yang bersatu untuk menewaskan BJP.

Prestasi blok INDIA jauh lebih baik daripada jangkaan kebanyakan syarikat media India dan peninjau pendapat pengundi.

Dalam pilihan raya 2019, Perikatan Demokrasi Nasional (NDA) yang diketuai BJP memenangi 353 kerusi, dengan BJP sendiri memperoleh 303 kerusi.

Oleh kerana kerusi diperoleh BJP jauh daripada 272 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah, ia akan memerlukan sokongan parti lain bagi membentuk kerajaan baharu.

Pencapaian BJP yang lemah memberikan lebih banyak kuasa runding kepada rakan kongsi yang berpotensi untuk membentuk kerajaan campuran kerana Modi ingin menjadi perdana menteri untuk penggal ketiga.

Di Uttar Pradesh, yang menyumbang 80 kerusi dewan rendah, pembangkang mendapat undian besar.

Yang ketara, Calon BJP Lallu Singh kalah kepada Awadesh Prasad dari Parti Samajwadi di Faizabad, kawasan pengundian yang termasuk Ayodhya, bandar di mana Modi merasmikan Kuil Ram pada Januari yang mendapat publisiti hangat.

Modi sendiri menang dengan selesa di Varanasi.

BJP mendahului dalam semua tujuh kawasan pengundian ibu negara New Delhi, dan kelihatan akan memenangi hampir keseluruhan negeri Gujarat, Madhya Pradesh, dan Chhattisgarh.

DMK mendominasi Tamil Nadu, AITC mendahului di Bengal Barat, dan Janata Dal United pimpinan Ketua Menteri Nitish Kumar menunjukkan prestasi yang baik di Bihar.

Saham di India merudum lebih lima peratus kerana trend pengiraan berbeza dengan jangkaan pasaran untuk kemenangan besar bagi Modi sejajar dengan tinjauan pendapat pada Sabtu yang dicemuh sebagai dimanipulasi oleh pembangkang sebaik sahaja diterbitkan.

Rupee India ditutup 45 paise rendah pada 83.59 berbanding dolar Amerika.

Undi simpati yang ketara bagi calon bebas Abdul Rashid Sheikh, bekas ahli dewan negeri yang ditahan di penjara di Delhi selepas diberkas Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram, kelihatan telah membantunya di Baramulla.

Punjab juga kelihatan akan memberikan kemenangan kepada calon yang bertanding dari dalam penjara.

Ketua Kumpulan Waris Punjab De, Amritpal Singh yang ditahan di Penjara Dibrugarh, Assam sejak ditangkap pada April tahun lepas atas tuduhan di bawah Akta Keselamatan Negara (NSA) yang ketat, menang di Khadoor Sahib.



Pilihan Raya Negeri



Pilihan Raya Peringkat Dewan Negeri di Andhra Pradesh, Arunachal Pradesh, Odisha, dan Sikkim juga diadakan.

BJP menang di Arunachal Pradesh yang bersempadan dengan China untuk kali ketiga berturut-turut, manakala Sikkim Krantikari Morcha (SKM) yang menguasai negeri timur laut Sikkim mendapat mandat untuk memerintah sepenggal lagi, menurut keputusan bagi dua negeri itu pada Ahad.

Parti Telugu Desam yang dipimpin oleh bekas Ketua Menteri Chandrababu Naidu telah kembali ke kuasa di Andhra Pradesh dengan memenangi majoriti kukuh di dewan yang mempunyai 175 kerusi, manakala parti ini kemungkinan akan memainkan peranan di peringkat kebangsaan.

Telugu Desam mendahului 16 daripada 25 kerusi Lok Sabha yang dipertandingkan di negeri itu.

Di Odisha, BJP menewaskan Biju Janata Dal (BJD) yang dipimpin oleh Naveen Patnaik, Ketua Menteri negeri timur itu sejak tahun 2000.

Odisha juga membantu BJP secara besar-besaran dalam meningkatkan jumlah kerusi dewan parlimennya, dengan parti itu mendahului dengan 19 daripada 21 kerusi Lok Sabha negeri itu.

-- BERNAMA