Di tengah spekulasi campur tangan asing dalam kempen pilihan raya, mahkamah mengumumkan alasan keputusan akan dijelaskan kemudian, manakala tarikh pilihan raya baharu belum diputuskan.
Keputusan itu dibuat hanya dua hari sebelum pusingan penentu antara Georgescu dan calon pro-Barat Elena Lasconi.
Georgescu menyifatkan keputusan mahkamah sebagai "rampasan kuasa" dan bertekad untuk terus berjuang, walaupun tidak menyatakan dengan jelas sama ada beliau akan bertanding semula.
Dalam ucapan video di Facebook, beliau berkata, "Kemenangan milik Tuhan, dan kita hanyalah alat untuk merealisasikan kehendak-Nya."
Beliau turut mendakwa keputusan mahkamah membuktikan bahawa "kedaulatan undang-undang dan demokrasi telah diserang.
"Sudah tiba masanya untuk menunjukkan bahawa kita adalah bangsa yang berani," katanya.
Sebaliknya, Perdana Menteri Marcel Ciolacu dari Parti Demokratik Sosial (PSD) menyambut baik keputusan mahkamah itu, menyifatkannya sebagai keputusan yang tepat selepas agensi keselamatan didakwa mengemukakan bukti manipulasi negara asing dalam pilihan raya.
Georgescu, 62, mengejutkan ramai pihak apabila memenangi pilihan raya pada 24 Nov selepas mengadakan kempen melalui TikTok, yang kini menjadi subjek siasatan rasmi.
Pejabat pendakwa raya pada Khamis memulakan siasatan terhadap Georgescu selepas perkhidmatan rahsia dan agensi lain mengesyaki campur tangan asing dalam kempen itu, termasuk sumber dan pembiayaan kempen dalam talian calon itu.
Presiden Romania Klaus Iohannis menyatakan bahawa tarikh pilihan raya baharu akan ditentukan oleh kerajaan baharu, yang akan dibentuk selepas pilihan raya parlimen pada 1 Dis.
Mandat beliau yang sepatutnya tamat pada 21 Dis akan dilanjutkan sehingga penggantinya dipilih.
Proses pilihan raya baharu memerlukan calon disahkan semula oleh mahkamah perlembagaan, dan dijangka memakan masa beberapa minggu.
Georgescu menafikan sebagai "individu pro-Moscow," tetapi memuji Presiden Rusia Vladimir Putin sebagai seorang patriot dan pemimpin. Georgescu turut memuji Presiden Amerika Syarikat terpilih Donald Trump dan Perdana Menteri Hungary Viktor Orbán.
-- BERNAMA