WASHINGTON: Gimnastik Amerika Syarikat (AS) pada Ahad berkata bahawa ia telah mengemukakan bukti tambahan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk menyokong kesnya bahawa atlet mereka Jordan Chiles harus mengekalkan pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara akhir senaman lantai wanita di Sukan Olimpik Paris, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Ana Barbosu dari Romania pada asalnya menduduki tempat ketiga dalam acara yang berlangsung Isnin.

Tetapi dia jatuh ke tempat keempat selepas pasukan AS mengemukakan bantahan sejurus selepas Chiles menamatkan rutin senamannya, yang menyebabkan markahnya dinaikkan daripada 13.666 kepada 13.766, mengangkat gimnas AS itu daripada tempat kelima ke tempat ketiga.

Romania membawa kes itu kepada CAS, yang memutuskan bahawa skor asal Chiles harus dikembalikan atas dasar bahawa siasatan AS telah dikemukakan melepasi tarikh akhir 1 minit dan oleh itu harus dibatalkan.

Pada Sabtu, Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) berkata bahawa ia akan menghormati keputusan CAS untuk menganugerahkan pingat gangsa kepada Barbosu.

Awal Ahad, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berkata pihaknya menerima "pindaan kedudukan" FIG dan akan "mengagihkan semula pingat gangsa" kepada Barbosu.

Kemudian pada Ahad, Gimnastik AS berkata ia telah menyerahkan "surat dan bukti video kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan yang membuktikan bahawa permintaan Ketua Jurulatih Cecile Landi untuk mengemukakan bantahan dibuat 47 saat selepas penerbitan markah."

Badan AS itu berkata ia menggesa keputusan CAS disemak semula dan markah pingat gangsa Chiles dikembalikan.

Pingat emas dalam acara senaman lantai wanita dimenangi Rebeca Andrade dari Brazil mengatasi Simone Biles, yang memenangi acara berpasukan, all around dan melombol di Paris.

Gambar Biles dan Chiles tunduk kepada Andrade di podium sebagai tanda penghormatan menjadi satu daripada imej ikonik Paris 2024.

-- BERNAMA