BRASILIA: Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva akan bertanding semula dalam pilihan raya presiden pada 2026, menurut Setiausaha Komunikasi Sosial Presiden, Paulo Pimenta pada Khamis.

Dalam wawancara bersama CNN Brasil, Pimenta memberi jaminan bahawa Lula berada dalam keadaan sihat selepas menjalani perubatan untuk merawat pendarahan otak pada Selasa dan Khamis, lapor Xinhua.

Beliau menyifatkan Lula sebagai "individu paling layak dan bersedia" untuk terus memimpin negara.

Menurut pasukan perubatannya, beliau tidak akan mengalami sebarang kesan sampingan dan dibenarkan keluar hospital awal minggu depan.

"Presiden Lula berada dalam keadaan sangat baik. Ini adalah prosedur yang mudah. Presiden Lula seorang yang menjaga dirinya dengan baik, menunjukkan disiplin yang tinggi dan sangat memahami Brazil.

"Saya tidak ragu-ragu bahawa Presiden Lula adalah individu paling layak dan mampu. Beliau pasti akan menjadi calon kami pada 2026 untuk meneruskan matlamat kami," kata Pimenta. 

Dalam wawancara yang disiarkan, Pimenta turut mengecam pihak pembangkang yang menyebarkan khabar angin tidak berasas mengenai keadaan kesihatan presiden. 


-- BERNAMA