MOSCOW: Kementerian Pengangkutan Rusia sedang mengadakan rundingan untuk melancarkan penerbangan terus ke Brazil, Malaysia, dan Pakistan, kata menterinya Roman Starovoyt dalam satu temu bual dengan Agensi Berita Rusia (TASS).

"Kami sedang mempertimbangkan Malaysia dan Brazil. Pakistan juga menghubungi kami baru-baru ini dengan permintaan yang sama. Kami turut menganalisis situasi di sana dan terlibat dalam dialog berterusan. Sudah tentu, kami berminat untuk mempunyai wakil perniagaan pelancongan turut mengambil bahagian dalam rundingan ini," katanya.

Beliau menyatakan bahawa Rusia sedang mengadakan rundingan dengan banyak syarikat penerbangan dari negara sahabat.

"Rangkaian laluan kami sentiasa berubah. Kami bersedia untuk bekerja berdasarkan prinsip pariti, saling menghormati dan pematuhan semua peraturan antarabangsa," kata menteri itu.

Menurut Starovoyt, untuk melancarkan perkhidmatan udara dengan mana-mana negara, adalah perlu untuk membincangkan perspektif trafik penumpang dengan syarikat penerbangan terlebih dahulu.

"Saya percaya untuk membangunkan laluan dengan betul, adalah perlu bermula dengan penerbangan sewa supaya penumpang dapat memahami bagaimana infrastruktur pelancongan berfungsi, jika perjalanan boleh dirancang dan bagaimana keselamatan dipastikan.

"Jika terdapat trafik penumpang, maka terdapat pilihan untuk mengubah haluan pesawat tertentu ke destinasi ini," tambahnya.

-- BERNAMA