Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan khas itu bagi menghargai khidmat penjawat awam sepanjang tahun 2024.
Katanya, bantuan pertama bernilai RM1,600 akan dikreditkan pada hujung Disember 2024 manakala tambahan setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 akan disalurkan pada Februari depan.
"Saya berharap pemberian Bantuan Khas Kewangan ini akan menyuntik semangat penjawat awam untuk terus komited bersama-sama kepimpinan kerajaan negeri dalam melaksanakan perancangan tahun 2025.
"Ia demi pembangunan negeri Melaka ke arah masa depan yang lebih gemilang," katanya.
Beliau berkata demikian pada Pembentangan Bajet 2025 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, pengumuman istimewa ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 itu disampaikan dalam bentuk dua rangkap pantun.
Dalam pada itu, kerajaan negeri hari ini, membentangkan Bajet 2025 dengan anggaran Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM497.7 juta manakala anggaran hasil berjumlah RM498 juta, sekali gus mengekalkan inisiatif bajet lebihan.
Ab Rauf berkata, perbelanjaan mengurus itu merangkumi RM15.9 juta bagi Tanggungan dan RM481.9 juta bagi Bekalan.
Sementara itu, Perbelanjaan Pembangunan pula diunjur berjumlah RM88 juta merangkumi RM57.1 juta daripada sumber Hasil Negeri; RM28.4 juta daripada Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Geran TAHAP); RM2.5 juta daripada Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) dan RM20 juta token daripada Akaun Pinjaman Disatukan.
Manakala, anggaran hasil Kerajaan Negeri pula adalah menerusi Hasil Cukai berjumlah RM177.3 juta; Hasil Bukan Cukai RM279.7 juta dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM41 juta.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, tema Bajet 2025 Negeri Melaka adalah ‘Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang’ yang berfokus kepada tiga agenda utama.