LONDON: Pakatan pemerintah Ireland gagal memperoleh 88 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 29 Nov, lapor Agensi Anadolu.

Fianna Fail muncul sebagai parti terbesar, mengekalkan kedudukan sejak pilihan raya 2020 di Dewan Perwakilan yang mempunyai 174 kerusi.

Dipimpin oleh Micheal Martin, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Ireland, parti itu menambah bilangan kerusi daripada 38 kepada 48.

Parti Fine Gael, yang dipimpin Perdana Menteri Simon Harris menduduki tempat ketiga dengan 38 kerusi berbanding 35 kerusi pada pilihan raya lalu.

Green Party, mengalami kemerosotan dramatik daripada 12 kepada hanya satu kerusi.

Keputusan pilihan raya menyaksikan gabungan itu memperoleh hanya 87 kerusi.

Pilihan raya kali ini menyaksikan beberapa menteri kehilangan kerusi mereka termasuk Menteri Kesihatan Stephen Donnelly, Menteri Pelancongan Catherine Martin dan Menteri Negara Anne Rabbitte.

Parti pembangkang utama Ireland, Sinn Fein kekal sebagai parti kedua terbesar dengan peningkatan kerusi daripada 37 kepada 39.

Parti Buruh dan Social Democrats masing-masing memperoleh 11 kerusi, manakala 16 calon bebas turut memperoleh kedudukan dalam Parlimen.

Parti baharu, 100 per cent Redress Party berjaya memenangi satu kerusi.

Peratusan keluar mengundi dilaporkan rendah dengan hanya 59.7 peratus daripada 3.4 juta pengundi berdaftar yang mengundi, menjadikannya yang terendah sejak 1923.

Parlimen dibubarkan oleh Presiden Michael D. Higgins pada 8 Nov atas permintaan Harris.

-- BERNAMA