LONDON: Perdana Menteri Ireland, Simon Harris mengumumkan pada Jumaat bahawa Ireland akan mengadakan pilihan raya umum pada 29 Nov.

Presiden Ireland, Michael D. Higgins, secara rasmi telah membubarkan Dail, dewan rendah parlimen Ireland bagi menandakan permulaan kempen pilihan raya umum, lapor Xinhua.

Harris, pemimpin parti Fine Gael, menerajui kerajaan gabungan di Dublin bersama Fianna Fail dan Parti Hijau.

Sinn Fein, parti pembangkang utama, mencapai keputusan bersejarah dalam pilihan raya 2020 dengan memenangi 37 kerusi parlimen.

Dalam pilihan raya akan datang, sejumlah 174 Teachtai Dala (TD) atau Anggota Parlimen akan dipilih, dengan sekurang-kurangnya 88 TD diperlukan untuk membentuk kerajaan.


-- BERNAMA