Ringkasan AI
- Insentif untuk Teknologi Keselamatan: Operator kenderaan berat perlu diberikan insentif seperti pengurangan kos insurans untuk menggalakkan penggunaan teknologi keselamatan yang sudah tersedia.
- Pemeriksaan Kesihatan Pemandu: Proses pembaharuan lesen memandu kenderaan berat perlu diperketatkan dengan mewajibkan slip pengesahan kesihatan daripada pengamal perubatan.
- Peningkatan Keselamatan Kenderaan Berat: Aspek keselamatan kenderaan berat perlu dipertingkatkan untuk mengelakkan kemalangan, termasuk pemeriksaan menyeluruh terhadap kondisi kenderaan, pencahayaan, struktur jalan, dan cuaca.
Pegawai Penyelidik, Unit Kenderaan Dagangan (CVU), Pusat Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik (VSB), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Ts. Ahmad Saife Salleh berkata pelbagai teknologi sudah tersedia, ia bergantung kepada kesediaan operator untuk melabur bagi menaik taraf keselamatan kenderaan berat.
“Kita perlu beri ‘lobak’ (ganjaran) dalam bentuk pengurangan kos insurans (kenderaan perdagangan), lebih baik. Ini kerana teknologi keselamatan kenderaan berat telah wujud.
“Kita juga ada enjin elektrik untuk kenderaan berat dan pelbagai jenama telah perkenalkan pelbagai ciri keselamatan bersama teknologi berkenaan. Tinggal lagi, sama ada operator mahu melabur bagi mendapatkan teknologi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Pantau Agenda Reformasi terbitan Astro AWANI pada Jumaat.
Tambah Ahmad Saife, selain aspek menyelia kesihatan pemandu juga perlu ditambah baik dengan menjadikan serahan slip pengesahan kesihatan oleh pengamal perubatan kepada pihak berkuasa sebagai satu syarat pembaharuan lesen.
“Setiap tahun pemandu lori atau bas perlu perbaharui Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) atau lesen vokasional PSV. Dalam konteks memperbahurui lesen ini, ada satu elemen untuk lakukan pemeriksaan kesihatan di klinik.
“Doktor akan sahkan pemandu sihat dan slip perakuan itu diberikan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Saya fikir elemen ini perlu diperketatkan,” ujarnya.
Mengulas mengenai kemalangan melibatkan lori yang mengalami tayar tercabut pada Isnin lalu, Ahmad Saife menjelaskan pelbagai aspek keselamatan jalan raya termasuk pencahayaan, struktur jalan, cuaca dan kondisi kenderaan terbabit perlu di siasat secara menyeluruh.
Pada masa sama beliau tidak menafikan aspek keselamatan kenderaan berat perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Pada Jumaat, JPJ telah menyita lori yang mengalami tayar tercabut dan dipercayai mengakibatkan kemalangan lima kenderaan di kilometer 204.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Dalam insiden kira-kira jam 8.40 malam, Isnin lalu, tujuh maut termasuk lima sekeluarga apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong.