SHAH ALAM: Kerajaan belum memberikan lesen operasi kepada tiga syarikat baharu yang melaksanakan perkhidmatan sebagai Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) fasa pertama, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata sebaliknya ketiga-tiga syarikat berkenaan hanya diberikan kelulusan bersyarat bermula minggu lepas dan diberikan tempoh dua tahun untuk melengkapkan keperluan infrastruktur.

"Saya nak tegaskan, tidak ada unsur kontrak diberikan. Kita tidak bayar satu sen kepada syarikat ini. Semua ini memerlukan pelaburan daripada mereka untuk beli tanah, mesin, bina bengkel dan sebagainya, selain tidak ada unsur implikasi kewangan kepada kerajaan.

"Mereka hanya diberikan kelulusan bersyarat, selepas mereka dapat menyediakan kemudahan tersebut barulah lesen operasi dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Hub Logistik Exio di Elmina di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung pelantikan tiga syarikat tersebut yang didakwa tidak mempunyai pengalaman dalam melaksanakan perkhidmatan PPKM di samping wujud unsur kroni.

Mengulas lanjut, Loke berkata perkhidmatan PPKM yang sebelum ini dimonopoli satu syarikat menjadikan tiada syarikat di negara ini yang mempunyai pengalaman dalam pemeriksaan kenderaan.

"Sebab (industri) pemeriksaan kenderaan ini dimonopoli oleh satu syarikat sahaja. Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang ditubuhkan pada 1994 juga tidak ada pengalaman.

"Sebelum ini pasaran ini tidak dibuka, ia dimonopoli oleh sebuah syarikat yang diberi konsesi oleh kerajaan. Sekarang, kita buka industri ini kepada lebih banyak persaingan supaya lebih banyak syarikat boleh terlibat dalam industri pemeriksaan kenderaan," katanya.

Terdahulu, Loke dilaporkan berkata kerajaan telah melantik tiga syarikat baharu bagi melaksanakan perkhidmatan sebagai PPKM fasa pertama iaitu Wawasan Bintang Sdn Bhd yang akan beroperasi di Pelabuhan Klang, Selangor, Gua Musang di Kelantan dan Mersing di Johor.

Dua syarikat lagi ialah Pakatan Petroleum San Bhd Yang akan beroperasi di Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang serta syarikat Beriman Gold Sdn Bhd di Kuching dan Serian, Sarawak.

Beliau berkata syarikat terbabit diberikan tempoh dua tahun untuk melengkapkan keperluan infrastruktur, dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan syarikat dilantik mematuhi semua syarat dan standard operasi PPKM yang telah ditetapkan.

Lesen operasi hanya akan diberikan setelah semua syarikat berkenaan mematuhi sepenuhnya keperluan peraturan serta kelengkapan peralatan dan bersedia untuk memulakan operasi.

-- BERNAMA