Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata kesemua mereka ditahan secara berasingan dalam siri serbuan baru-baru ini dan yang terbaharu suspek utama iaitu seorang lelaki berusia 46 tahun, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 10.50 malam tadi.
"Lelaki yang bekerja sebagai kontraktor itu ditahan sebaik tiba dari luar negara dan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini untuk didakwa di bawah Seksyen 324 dan 109 Kanun Keseksaan, manakala tiga lelaki daripada 22 individu yang ditahan sebelum ini juga telah didakwa di mahkamah mengikut seksyen yang sama pada Selasa lepas.
"Berdasarkan siasatan polis mendapati suspek utama berdendam dan tidak berpuas hati dengan mangsa selepas peguam berusia 37 tahun tersebut menang satu kes sivil terhadap lelaki itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rozak berkata dengan tangkapan dan pertuduhan empat lelaki berkenaan, polis percaya kes yang telah menarik perhatian awam itu berjaya diselesaikan dan pihak polis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan sepanjang siasatan kes tersebut.
Pada 26 Okt, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake memaklumkan kejadian yang berlaku kira-kira 9.50 pagi itu di hadapan sebuah kedai kopi di Jalan Persiaran Karpal Singh, menyebabkan mangsa seorang lelaki warga tempatan dan berusia 37 tahun menerima tujuh jahitan di kepala.
Badan Peguam Malaysia juga dalam kenyataan memaklumkan pihaknya terkejut dengan insiden serangan terhadap seorang daripada ahli badan berkenaan.
-- BERNAMA